Malaysia; pemimpin dan rakyatnya sedang diuji. Ujian demi ujian. Daripada permasalahan berkaitan dengan cuaca dan persekitaran yang menggugat kesejahteraan hidup sehinggalah kehilangan pesawat MH370. Sebelumnya pula negara khususnya umat Islam diuji dengan kemelut yang secara langsung menyentuh akidah dan kedaulatan agama. Antaranya termasuklah kedegilan golongan anti Hadith, perbicaraan kes kalimah Allah yang belum selesai, penyebaran fahaman Syiah, dan sebagainya. Rentetan ujian yang menimpa sewajarnya menimbulkan keinsafan dan keazaman untuk mengambil pengajaran, tidak mengulangi kesalahan, dan memperbaiki keadaan. Namun jika musibah yang menimpa tidak sama sekali mengetuk pintu hati untuk menginsafi diri, pastinya terdapat sesuatu yang tidak kena pada diri kita.
Daripada sedemikian banyak ujian, kehilangan misteri pesawat MH370 kekal membelenggu negara dan rakyat. Demikian juga masyarakat sedunia sehingga insiden kehilangan berkenaan diungkap sebagai ‘mystery of the year” oleh salah sebuah media asing, Washington Post. Meski apa juga hipotesis yang dikemukakan, apa yang pasti ialah insiden ini telah mencetuskan kejutan besar kepada kita semua. Daripada kepemimpinan negara, pihak berkuasa yang terlibat sehinggalah masyarakat awam.
Setiap yang berlaku dan ditimpakan Allah atas kita bukan tanpa tujuan. Segala-galanya ditentukan dengan hikmah yang tertentu; sama ada dapat disaksikan oleh manusia atau sebaliknya kekal menjadi rahsia Allah S.W.T. Hikmah terbesar yang patut disedari kita ialah kekuasaan Allah S.W.T. mengatasi segala-galanya. Allah Yang Maha Berkuasa mengurniai kebijaksanaan kepada manusia untuk menguasai pelbagai jenis ilmu. Lantas ilmu tersebut dimanfaatkan dalam kehidupan mereka termasuklah dalam penciptaan pelbagai bentuk kenderaan yang memudahkan pergerakan. Sehebat mana sekalipun manusia mempertingkat kecanggihan dan keselamatannya, pasti ilmu dan kuasa Allah S.W.T. tidak dapat ditandingi.
Pada kuasa-Nyalah letaknya jaminan bahawa manusia dapat tiba ke destinasi yang dituju atau sebaliknya terkandas dalam perjalanan atau juga tidak pernah sampai ke tempat yang dituju, Kegagalan seumpama ini merupakan ujian yang ditimpakan dan wajib diterima dengan penuh reda. Hal ini disebabkan Allah S.W.T. mengajar orang yang beriman melalui firman-Nya, “Katakanlah (wahai Muhammad), `Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang beriman bertawakal.” (Surah al-Taubah 9 : 51).
Bagi kepemimpinan negara, penyelesaian kemelut besar lagi rumit ini jelas menguji kebijaksanaan, ketahanan, ketulusan, serta ketangkasan dalam bertindak. Begitu juga dalam menyusun keutamaan dan pada masa yang sama, terpaksa mengorbankan hal-hal yang diketahui kepentingan besarnya seperti keselamatan negara. Hal seumpama itu pastinya memerlukan pertimbangan berat terhadap kesan atau akibatnya dan penyusunan langkah yang rapi dalam menanganinya. Demikian pula dalam penyelarasan usaha mencari dan menyelamat atau Search and Rescue (SAR) yang kini melibatkan lebih banyak pihak dan negara. Kejadian pertama seumpama pasti mendedahkan kelemahan dan kekurangan dalam aspek-aspek tertentu. Lantas semuanya amat berguna untuk dimanfaatkan bagi memastikan aspek-aspek tersebut diatasi dan diperbaiki. Semuanya ini merupakan hikmah ketara yang dapat dilihat dan wajib disyukuri. Kesyukuran tersebut lebih bermakna seandainya kesilapan yang dilakukan sebelumnya dijadikan pengajaran yang menginsafkan dan tidak sama sekali diulangi kembali.
Bagi masyarakat awam pula, sokongan padu amat perlu mereka berikan, khususnya terhadap keluarga penumpang yang terbabit. Usaha mulia yang telah dijalankan seperti ibadah dan amal salih tertentu pastinya dapat meringankan bebanan kesedihan dan kerunsingan yang menyelubungi jiwa. Tiadalah yang lebih bermakna bagi insan yang dilanda kesulitan melainkan bantuan bagi meleraikan kekusutan dan kedukaan yang menyelubungi dirinya. Hal inilah yang diungkap dalam Hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud, “Sesiapa yang melepaskan saudara Muslimnya daripada salah satu kesulitan dunia, Allah akan melepaskannya daripada kesulitan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan saudaranya, Allah akan memudahkan urusan dunia dan akhiratnya. Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa membantu hamba-Nya selagi hamba-Nya itu membantu saudaranya.” (Muslim).
Dalam kesungguhan segenap lapisan masyarakat menghulurkan sokongan dalam pelbagai bentuk dan cara , wujud pula segelintir pihak yang bertindak di luar kewajaran. Medium-medium tertentu digunakan untuk menyebarkan khabar dan andaian yang tidak berasaskan fakta atau dipastikan kesahihannya. Lantas ia menimbulkan prasangka buruk, mengundang kebimbangan, dan mencalar perasaan mereka yang berkaitan. Lupakah mereka akan sifat sebenar Muslim yang dijelaskan Nabi S.A.W. sebagai individu yang saudara Muslimnya yang lain sentiasa selamat daripada kemudaratan bicara atau perbuatannya?
Bantuan yang dihulurkan anggota masyarakat bagi menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370 itu juga perlu dipastikan seiring matlamat dan caranya. Kaedah perbomohan yang bertentangan dengan ajaran Islam sehingga menimbulkan keaiban serta fitnah kepada agama dan umat Islam negara ini wajib ditolak. Pihak yang melakukan perbuatan sedemikian perlu diadili dan diambil tindakan setimpal agar menjadi pengajaran kepada anggota masyarakat yang lain. Tindakan itu juga bagi menjernihkan kembali nama baik negara dan umat Islam yang telah tercalar, bukan sahaja pada pandangan Muslimin seluruhnya di dunia bahkan juga lebih-lebih lagi bukan Islam. Bantahan atau sindiran terhadap kaedah yang ditolak oleh ajaran Islam itu bagaimanapun telah tidak secara langsung disensasikan melalui parodi aksi bomoh terbabit. Sehubungan itu, wajarlah penyebaran bahan-bahan yang memaparkan aksi meniru perbuatan yang memalukan itu dihentikan kerana jelas ia tidak mendatangkan sebarang faedah atau manfaat.
Perasaan kita umumnya lebih tercalar apabila mengetahui kematian pengunjung muda beragama Islam ke konsert yang pada asalnya dijadualkan berlangsung selama tiga hari itu. Bayangkan sahaja seandainya tiada kematian yang berlaku. Pastinya pesta hiburan yang melalaikan lagi merosakkan itu diteruskan. Kita tertanya-tanya telah lenyapkah simpati dan empati terhadap keluarga penumpang pesawat yang amat dinanti-nantikan penemuannya itu? Masih adakah antara kita yang sanggup menganjurkan pesta hiburan dan menggalakkan muda-mudi berhibur dalam keadaan keluarga berkenaan dan insan lain yang diuji dengan pelbagai bentuk kesulitan mengharungi dugaan dengan penuh kepayahan? Belum cukupkah musibah dan ujian Allah S.W.T. yang dtimpakan atas kita sebagai tanda sifat pengasih-Nya untuk mengampunkan dosa-dosa kita? Telah jelas lagi nyata bahawa kini bukan masanya lagi untuk berhibur dan berfoya-foya. Bahkan sebaliknya inilah saatnya untuk bertaubat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan, dan menyucikan diri. Hanya dengan cara inilah Allah S.W.T. akan melimpahkan kasih-sayang-Nya dan melepaskan kita daripada belenggu kesulitan atau kesempitan.
Dengan menyedari usaha pencarian pesawat yang hilang semakin berliku cabarannya manakala ujian-ujian lain masih belum reda mahupun menghilang, maka seharusnya kita terus berharap dan tidak sekali-kali berputus asa daripada rahmat-Nya. Allah S.W.T. berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar 39 : 53)