Tanpa mengira apa sahaja bentuk sistem, ideologi dan kerangka pemikiran yang mendasari pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara, tidak dapat dinafikan bahawa matlamat akhir setiap pemerintahan adalah untuk mencapai kebaikan dan kesejahteraan khususnya kepada warga yang mendiaminya.
Istilah yang digunakan untuk menggambarkan kebaikan dan kesejahteraan tersebut mungkin berbeza berdasarkan pandangan alam yang memandu kepimpinan negara tersebut. Kadang-kala ia disebut sebagai kemakmuran, keadilan, pembangunan, maslahah, fadilah, hak asasi dan lain-lain.
Bukti jelas yang menunjukkan kepentingan untuk mencapai matlamat murni ini adalah lahirnya banyak karya-karya berkaitan etika politik yang ditulis oleh para pemikir agung di setiap zaman dan dari pelbagai peradaban dunia.
Sebagai contoh, seawal zaman Yunani lagi, ahli falsafah seperti Plato menulis The Republics yang menjelaskan tentang kepentingan keadilan sebagai satu keutamaan (virtue) dalam pemerintahan. Begitu juga dengan Aristotle yang menulis Nichomachean Ethics. St. Thomas Aquinas yang datang dari tradisi agama Kristian Zaman Pertengahan pula menulis Summa Theologica.
Menjelang kedatangan zaman moden, lahir pelbagai karya seperti Social Contract oleh Rousseau Liberty karangan John Stuart Mill, Philosophy of Right oleh Hegel, Political Treatise oleh Spinoza dan The Prince karya Nicolo Machiavelli.
Sementara dalam tradisi Islam pula terdapat sebilangan karya-karya penting seperti Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadilah karanganal-Farabi, Nasihat al-Muluk oleh al-Ghazali dan al-Ahkam al-Sultaniyyah karya al-Mawardi.
Walaupun terdapat banyak karya-karya mengenai etika politik, namun sejarah tetap menyaksikan prinsip dan nilai murni yang diketengahkan oleh tokoh-tokoh pemikir ini dilanggar oleh golongan pemerintah dan penguasa. Pelbagai kemelut kepimpinan berlaku sepanjang zaman seperti kezaliman pemerintah, pergolakan dan perebutan kuasa sesama pemimpin, perbuatan rasuah, fitnah dan adu domba yang menjatuhkan banyak kerajaan dan pemerintahan.
Dalam kalangan pemikir pula, ada yang cuba mengesahkan tindakan tidak beretika pemerintah dengan justifikasi yang lebih pragmatik. Nicolo Machiavelli misalnya membenarkan tindakan pemerintah memungkiri janji dengan kata-kata ”a prince never lacks legitimate reasons to break his promise,” dan “it is better to be feared than love if you cannot be both.”
Yang lebih ekstrem, terdapat pandangan ahli falsafah yang terus menolak kewibawaan etika dan agama sebagai pemandu kehidupan seperti yang tercermin misalnya dalam kata-kata tokoh falsafah berbangsa Jerman, Frederich Nietzsche bahawa “ethics is just a fiction used by the herd of inferior human beings to hold back the few superior men.” Etika dan agama bagi Nietzsche adalah ciptaan golongan yang lemah untuk menyeimbangi kekuatan mereka yang berkuasa.
Pandangan-pandangan yang timbul berlatarbelakangkan pertembungan kuat antara institusi Gereja dan falsafah Barat Moden ini ternyata memberikan justifikasi untuk aliran-aliran yang berasaskan realisme dan pragmatisme untuk mengenepikan peranan etika dalam politik dan pemerintaan. Malah ia mungkin menjadi lesen bagi sebahagian penguasa untuk meneruskan kezaliman yang dilakukan.
Pemikiran sebegini pasti menjadi batu penghalang kepada usaha untuk menyemai etika dalam pemerintahan yang sememangnya amat diperlukan untuk mengelakkan pelbagai bentuk kefasadan seperti kezaliman, rasuah salah guna kuasa.
Ia juga akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan mengenai kefahaman sebenar mengenai kebaikan dan kemaslahatan. Apabila keburukan telah dikelirukan sebagai kebaikan, akan timbul kekeliruan dalam kalangan mereka yang jahil bahawa apa yang mereka lakukan adalah kebaikan.
Tindakan ini malah lebih buruk daripada seseorang yang melakukan kerosakan dalam keadaan ia menyedari keburukan tindakan mereka. Ini kerana mereka yang sedar akan keburukan yang dilakukan mempunyai peluang untuk berubah sedangkan mereka yang keliru akan terus meyakini bahawa keburukan yang dibuatnya adalah satu kebaikan.
Inilah yang secara khusus ni diberi amaran oleh al-Qur’an mengenai orang yang menyangka kerosakan yang dilakukan adalah sebahagian dari kebaikan.
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan” (al-Baqarah (2:11)
Dalam ayat yang lain, al-Qur’an menyebut:
“Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.(al-Kahfi 103-4)
Sekurang-kurangnya, dua perkara penting yang perlu diambil perhatian mengenai permasalahan yang telah dibangkitkan. Pertama, masyarakat dan pemimpin harus dididik dengan ilmu yang benar mengenai prinsip-prinsip nilai etika yang jelas. Nilai-nilai buruk seperti kezaliman, penipuan, pecah amanah tidak harus dijadikan sesuatu yang subjektif sehingga dikelirukan dengan kebaikan. Ia penting bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan kekuasaan dan otoriti untuk menjustifikasi kezaliman dan salah guna kuasa.
Kedua, prinsip dan faham kebaikan dan kemaslahatan harus ditunjangkan kepada asas yang lebih tetap dan kukuh. Disinilah prinsip-prinsip akhlak yang berteraskan agama dan wahyu memainkan peranan yang amat penting kerana ia bersifat tetap dan tidak akan berubah dengan perubahan zaman dan tempat. Ia juga diletakkan dalam kerangka pandangan alam yang lebih teguh seperti ketuhanan, kerasulan, agama dan lain-lain. Semua ini hanya dapat dilakukan melalui pendidikan yang agama dan akhlak yang berterusan dan melibatkan semua peringkat dari yang generasi awal sehinggalah di peringkat tertinggi terutama kelompok pemimpin yang membawa amanah besar untuk menjamin kesejahteraan manusia yang dipimpin.