Tanggal 10 Oktober setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia. Oktober merupakan bulan mempromosikan kesihatan mental dalam memupuk kesedaran dan sensitiviti masyarakat tentang kepentingan kesejahteraan mental. Pada tahun ini, tema sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia ialah ‘Sayangi Nyawa, Hidupkan Harapan’ yang difokuskan kepada masalah bunuh diri yang semakin menunjukkan trend peningkatan pada hari ini.
Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mencatatkan sebanyak 10% daripada remaja muda berusia 13 hingga 17 tahun terlibat dengan cubaan bunuh diri. Ia merupakan satu peningkatan yang tidak dijangkakan berbanding tahun 2012 yang hanya mencatat 7.9%. Apakah angka ini belum mampu menggambarkan keparahan masyarakat kita dalam ilmu kejiwaan? Adakah masalah ini berlaku disebabkan oleh sikap tidak ambil peduli masyarakat dengan masalah kesihatan mental? Kemungkinan terdapat khalayak yang masih tidak mempercayai bahawa tragedi bunuh diri wujud dan berlaku mutakhir ini kerana ia masih janggal untuk diperkatakan secara terbuka. Walhal, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendedahkan bahawa di antara 10 penyebab utama kematian di dunia ialah bunuh diri, dan ia menjadi faktor kedua kematian bagi golongan berusia 15 sehingga 29 tahun. Lingkungan umur tersebut dikategorikan masih muda dalam mengenali erti kehidupan tetapi telah diselubungi dengan pengurusan emosi yang tidak terkawal dan memudaratkan kehidupan.
Isu kesihatan mental berterusan menjadi tabu dalam masyarakat Malaysia khasnya dan jarang untuk dibicarakan sepertimana penyakit fizikal lain seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular. Penyakit mental memberi konotasi negatif sehingga membawa kepada stigma masyarakat yang menyebabkan masalah ini tidak dapat ditangani dari awal serta tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Keadaan ini menyebabkan gangguan mental menjadi lebih parah sehingga boleh menamatkan nyawa seseorang pesakit kerana mereka merasakan kehidupan seperti tidak berguna lagi. Disebabkan itu, cubaan membunuh diri menjadi pilihan pesakit di samping didorong oleh tekanan dan kemurungan yang serius.
Disebabkan oleh stigma tersebut, individu akan merasa terancam dari sudut sosial dan berlaku diskriminasi masyarakat apabila disahkan mengalami masalah mental dan menerima rawatan penyakit mental. Oleh itu, stigma ini perlu segera dihapuskan daripada bermaharajalela dalam masyarakat agar tidak memburukkan lagi keadaan. Pesakit yang diuji dengan gangguan mental tidak boleh disisihkan dalam masyarakat malah perlu didekati, difahami dan diberi sokongan.
Oleh itu, sambutan Hari Kesihatan Mental bukan sekadar satu bentuk keraian yang dipenuhi dengan program tetapi tujuannya perlu lebih holistik dan dekat di jiwa masyarakat. Manfaat yang diperoleh bukan hanya tertakluk pada hari yang diraikan tetapi hendaklah berterusan diingat dan dipasak kefahaman semua golongan masyarakat untuk membudayakan gaya hidup sihat fizikal dan mental serta peka terhadap gangguan kesihatan mental yang berlaku khususnya individu yang berada dalam kitaran hidup seharian. Masyarakat perlu ditingkatkan literasi kesihatan mental dan diberi kesedaran tentang keparahan masalah ini.
Literasi kesihatan mental merupakan pengetahuan dan kepercayaan tentang gangguan atau penyakit mental yang akan membantu seseorang untuk mengenal pasti, mengurus dan mencegah sekiranya berlaku gangguan penyakit mental. Keupayaan pengurusan ini mampu mengawal kesan gangguan mental yang lebih serius dan berkecenderungan untuk membunuh diri.
Tekanan perasaan, kemurungan, harapan yang terlalu tinggi, masalah penyalahgunaan dadah dan tragedi serta krisis hidup adalah antara punca cubaan bunuh diri yang melibatkan anak muda remaja dan golongan dewasa yang bermasalah. Selain daripada itu, penggunaan gajet dan media sosial juga menjurus kepada risiko ketidakseimbangan mental. Ini kerana ramai remaja yang terlibat dan mendapat kesan psikologi daripada ketagihan gajet dan media sosial. Semua faktor ini memburukkan lagi keadaan sekiranya tidak ditangani secara tuntas dari awal.
Memandangkan cubaan membunuh diri adalah di luar jangkaan masyarakat sekeliling, maka sokongan sosial daripada semua pihak amat diperlukan sekiranya dapat dikenal pasti sedari awal. Peka terhadap perubahan emosi dan tahap kemurungan pesakit menjadi kunci pencegahan tragedi bunuh diri. Seterusnya pesakit perlu diambil berat tentang keadaan atau masalah yang dihadapi, mendengar luahan hati serta menawarkan penyelesaian sekiranya berkemampuan bagi mengurangkan beban emosi mereka.
Hilang punca dalam melayari kehidupan disebabkan oleh tekanan hidup yang melampau boleh menyebabkan seseorang cenderung untuk membunuh diri. Walaupun Islam mengharamkan perbuatan tersebut tetapi individu yang terlibat dengan cubaan membunuh diri perlu dibantu dari sudut sokongan moral yang berterusan dan perlu dielakkan daripada terus menghukum mereka sebagai tiada pegangan agama serta kurang iman. Tindakan melabel akan membawa kesan memudaratkan kepada aspek psikososial individu terbabit.
Di Malaysia, cubaan untuk membunuh diri dianggap sebagai jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Dilabel sebagai penjenayah akan menambahkan lagi kekusutan tekanan yang dihadapi oleh individu yang ingin membunuh diri. Hal ini tidak akan menyelesaikan masalah tetapi mengeruhkan lagi keadaan. Mereka perlu dipandu dan diberi rawatan psikiatri bagi memulihkannya untuk menjalani kehidupan normal.
Sikap masyarakat yang cakna dengan isu kesihatan mental adalah yang memberikan harapan dan menyelamatkan nyawa mereka yang tenggelam dalam kesengsaraan kecelaruan emosi. Oleh itu, amat penting masalah dalam kesihatan mental tidak dipandang sepi dan diberikan kerjasama oleh pelbagai pihak untuk mendidik masyarakat supaya sedar dengan peranan masing-masing dalam membantu memecahkan stigma dan literasi kesihatan mental. Perkhidmatan saringan dan rawatan kesihatan mental yang disediakan oleh pihak kerajaan perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan mental dan kualiti kehidupan yang lebih baik. Pendekatan dan usaha mempromosi isu kesihatan mental perlu mengakar ke semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja. Langkah ini mampu membantu golongan berisiko menangani gangguan penyakit mental lebih awal seterusnya tidak mencetuskan keinginan untuk membunuh diri.