Bila Pengaruh ‘Black Metal’ Atasi Agama
PADA mulanya saya yang pernah belajar di sekolah agama tidak percaya bahawa di kalangan pelajar agama hari ini terdapat sesetengah mereka yang amat rapuh dan goyang imannya.
Saya hanya mempercayai hal ini apabila mendapat cerita yang tulen dan sahih daripada orang yang mempunyai anak di sekolah agama di Kedah yang menyatakan bahawa terdapat pelajar sekolah tersebut yang menyertai kumpulan Black Metal dengan simbolnya terukir di tapak kaki.
Penemuan kes tersebut menggegarkan keseluruhan guru sekolah tersebut dan sekolah-sekolah lain, yang segera bertindak memeriksa tubuh pelajar untuk mencari cap simbol Black Metal hingga ke tapak kaki dan di tempat sulit yang lain.
Hal ini juga menyebabkan banyak ibu bapa merasa amat cemas dan bimbang dengan tingkah laku anak mereka di belakang dan di luar pengetahuan mereka. Ibu bapa dan para guru serta anggota masyarakat sendiri merasa terhutang budi kepada media yang telah menghebahkan cerita ini sehingga seluruh negara tiba-tiba bangun serentak secara mengejut bagi menghadapi isu yang menggawatkan ini.
Berdasarkan hal tersebut, nampaknya dalam zaman moden, zaman global dan teknologi maklumat dan komunikasi ini, pengaruh lain mungkin mempunyai pengaruh yang lebih kuat dan perkasa ke atas keseluruhan anak-anak muda kita berbanding pengaruh agama itu sendiri.
Pelajaran agama yang diterima melalui pendidikan formal daripada guru-guru mungkin hanya dimanfaatkan untuk tujuan kognitif, iaitu untuk lulus dalam peperiksaan sahaja.
Sedangkan pengaruh lain, termasuk pengaruh Internet, filem, muzik dan sebagainya adalah merupakan anasir-anasir yang memberi makanan jiwa dan menusuk masuk ke dalam hati nurani mereka sehingga dapat dihayati dengan sepenuhnya.
Kita pun tidak tahu di manakah salahnya keadaan ini. Tetapi satu perkara yang jelas bahawa sekurang-kurangnya pengaruh muzik kegila-gilaan dan asing itu berjaya mengatasi unsur lain dalam mempengaruhi jiwa dan hati anak muda kita.
Hal ini menjadi lebih hebat lagi dengan gejala lain yang menyertai muzik dan tarian tersebut iaitu pemujaan syaitan, penolakan agama, memenuhi pemikiran dan fantasi dengan segala unsur negatif dan pasif, mati, kubur, mayat dan sebagainya yang menjadi amalan iblis dan syaitan.
Hal ini lebih berjaya mengisi kekosongan jiwa dan idealisme anak-anak muda, dan memberi mereka kepuasan dan hiburan, lebih daripada pengaruh nilai murni dan agama serta moral yang dalam konteks para pelajar tersebut tidak dapat memenuhi keperluan mereka.
Dalam keadaan ini, kita pun merasa bingung dan hairan kenapakah pengajaran agama dan moral yang sepatutnya dapat mengisi mental dan hati nurani para pelajar tiba-tiba mengalami kegagalan dan kelesuan. Perkara ini tentulah memerlukan perhatian serius.
Para pengkaji dan guru sendiri mungkin dapat menoleh ke belakang melihat di manakah salahnya jalan yang telah mereka lalui, atau diri mereka sendiri yang telah tersesat jalan?
Di samping itu, pengaruh lengkungan dan persekitaran di sekeliling juga perlu diperhatikan dengan cermat untuk melihat cabaran yang menggawatkan kita semua ini.
Mungkin media elektronik, iaitu TV yang menyediakan platform filem separuh lucah dan muzik separuh gila juga mempunyai pengaruh negatif terhadap pandangan hidup generasi muda kita.
TV rasmi kerajaan dan swasta mungkin perlu mencerminkan diri melihat wajah-wajah yang sebenarnya dalam konteks ini. Mungkin dalam hal ini kita tak perlu terlalu menyalahkan program-program yang diimport dari Barat, program keluaran tempatan sendiri mungkin juga tidak dapat memberi santapan rohani yang baik, apa lagi menjadikan penonton berfikir secara rasional dan logik.
Pengaruh lingkungan yang tentunya lebih berbahaya ialah Internet yang menyiarkan segala macam sampah sarap pembohongan, pornografi dan segala macam program yang bertujuan meraih keuntungan.
Anak-anak muda tentulah lebih cenderung untuk menonton adegan yang membangkitkan nafsu, daripada mencari ilmu pengetahuan yang banyak dalam Internet. Program cit catnya sudah cukup membawa khayalan dan komunikasi yang lebih banyak diasaskan atas fantasi hidup yang kosong.
Filem separuh bogel dan muzik kegilaan dengan berlatarbelakangkan pornografi, malah program cit cat telah menjadi hidangan biasa di dalam TV berbayar di negara kita. Filem-filem Barat yang dikategorikan untuk yang berumur 18 tahun ke atas dapat ditonton pada bila-bila masa sahaja, sama ada pada waktu siang atau malam.
Di samping itu banyak sekali program yang merangsangkan nafsu yang disiarkan berselindung di dalam program-program jenaka dari Barat seperti Friends dan lain-lain.
Cit cat yang diadaptasi dalam program tempatan juga nampaknya lebih banyak berkisar di sekitar penonjolan dialog dan watak yang tidak diketahui apakah mesej dan objektifnya.
Pendeknya di samping menyalahkan program import, kita juga harus melihat produk tempatan sendiri, agar ia lebih bermutu dan berkualiti, dari segi pengisian jiwa dan hati nurani semua kalangan anggota masyarakat.
Saya menyebutkan semuanya ini sebagai bahan pemikiran bagi semua orang, kerana tanggungjawab menyelesaikan kekusutan moral dan perubahan sistem nilai masyarakat kita sekarang, termasuk anak-anak sekolah yang terpengaruh dengan Black Metal itu, adalah terletak di atas bahu semua orang di semua peringkat.
Kita tidak mempunyai tongkat sakti untuk menyelesaikan kekusutan ini, tetapi yang perlu dilakukan ialah bertanya diri sendiri, apakah sumbangan yang boleh diberikan, dan apakah peranan yang boleh dimainkan oleh setiap orang bagi menyelesaikan perkara ini?