Mengurus Risiko Sebelum Kemalangan Jalanraya Tuntutan Maqasid Syariah
Statistik kemalangan jalanraya di negara kita sentiasa bertambah dari tahun ke tahun. Statistik yang dikeluarkan pihak berkuasa menjadi bukti kepada fenomena ini. Di negeri Selangor yang mempunyai kadar kesibukan penggunaan jalanraya yang tinggi di Malaysia, statistik pada tahun 2009 menunjukkan berlaku 100,380 kemalangan, dengan peningkatan 7,049 kemalangan pada tahun 2010, 8,136 kemalangan pada tahun 2011 dan 13,411 kemalangan pada tahun 2012 seperti dalam laporan pihak berkuasa.
Terbaru, masyarakat di tanahair turut digemparkan dengan kemalangan bas terhumbam ke dalam gaung ketika turun dari pusat peranginan Genting Highlands sehingga mengorbankan tiga puluh tujuh nyawa. Apabila telah berlaku kemalangan, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan. Kehilangan nyawa tidak boleh lagi ditukar ganti. Mangsa yang cedera parah boleh membawa pelbagai kecacatan yang menganggu kelangsungan kehidupan. Harta-benda yang musnah melibatkan kerugian kepada semua pihak. Tenaga kerja, kepakaran, pengalaman mangsa yang maut menjadi kerugian kepada majikan dan negara. Ahli keluarga hilang tempat berkasih-sayang dan berteduh.
Kenapa kemalangan berlaku? Adakah ia tidak boleh dielakkan langsung sebelum terjadi? Adakah sudah jadi satu nilai hidup kita, hanya setelah berlaku kemalangan siasatan dilakukan? Jika kemalangan besar maka siasatan melibatkan pelbagai agensi pada skala besar juga dibuat. Setelah laporan siap, maka siaplah kerja kita secara umum. Kemalangan tetap bertambah. Laporan bedah siasat daripada kemalangan yang telah pun berlaku seolah-olah menjadi satu rautin agensi berkaitan yang tidak memberi pengajaran. Buktinya, kemalangan jalanraya terus meningkat saban tahun. Di manakah mekanisma unggul, jika tidak sampai ke tahap sifar, yang dapat mengurangkan peningkatan statistik kemalangan saban tahun?.
Kemalangan adalah suatu musibah yang tidak dijangka. Ini merupakan satu fakta. Walaupun begitu, manusia diberikan kepandaian dan kreativiti cara yang dapat mengurangkan risiko terjebak dalam kemalangan jalanraya. Pencegahan adalah elok daripada pemulihan. Dapat mengelakkan diri daripada kemalangan di jalanraya adalah lebih elok daripada menjadi mangsanya.
Panduan asas telah pun dijelaskan dalam agama. Islam menekankan bahawa agama, nyawa, akal, keturunan dan harta merupakan perkara asas yang perlu manusia pelihara. Ini merupakan maqasid syariah atau matlamat syariah diturunkan kepada manusia. Dalam kaedah perundangan fiqh Islam, jika dengan melakukan sesuatu perkara dapat melengkapkan tuntutan agama, maka agama menuntut manusia melakukan perkara berkenaan. Dengan tidak terjebak dalam kemalangan jalanraya, manusia dapat memenuhi aspek tuntutan maqasid syariah.
Dalam kes kemalangan jalanraya, masyarakat umumnya dan agensi berkaitan khususnya perlu mencari pendekatan awal untuk menyekat apa-apa perkara yang memudahkan berlaku kemalangan. Jadi, ini merupakan langkah dua tiga kali ke hadapan untuk mencegah kemalangan daripada berlaku.
Langkah-langkah untuk mencegah kemalangan yang telah pun sedia ada, mungkin boleh dilihat lebih lanjut sejauh mana keberkesanannya agar benar-benar mengurangkan kemalangan jalanraya. Penambahbaikan perlu dibuat ke atas undang-undang berkaitan yang boleh memberi pengajaran secara praktikal bukan hanya gah di atas kertas semata-mata. Pendidikan berkaitan cara pemanduan yang selamat perlu diperkasakan di semua peringkat lapisan masyarakat. Sistem penguatkuasaan oleh agensi berkaitan perlu benar-benar telus dan cekap serta mempunyai mesej mendidik. Apabila penguatkuasaan dikenakan ke atas pengguna jalanraya, ia boleh memberi pengajaran kepada mereka. Bukanlah sebaliknya seperti memendam rasa tidak puasa hati sehingga matlamat pelaksanaan agensi penguatkuasaan yang murni dipandang serong lalu menjejaskan tahap keberkesanan dalam mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan.
Pendekatan baharu untuk mencegah kemalangan jalanraya boleh juga diambil untuk menggantikan pendekatan lama yang nampaknya seolah-olah tidak berhasil dengan pertambahan kemalangan dari tahun ke tahun. Sebagai contoh, umum mengetahui kerosakan jalanraya seperti lopak besar, lubang di tengah jalanraya turut menjadi punca kemalangan.
Alhamdulillah, di tepi-tepi jalan kita kerap melihat nombor telefon aduan kerosakan jalanraya kepada agensi berkaitan. Untuk penambahbaikan, bukankah elok jika satu pasukan petugas khas bagi setiap daerah dibentuk yang sentiasa bergerak untuk melihat dan memantau kerosakan jalanraya yang memerlukan pembaikan segera? Ini merupakan satu tindakan proaktif agensi berkaitan. Pengguna jalanraya bukan sahaja akan merasa selesa dengan jalan yang elok dan rasa lebih terjamin keselamatan mereka bahkan akan turut bersyukur kepada agensi berkaitan dan pengurusannya. Isu memantau kerosakan jalanraya ini memang nampak remeh tetapi sangat penting kepada rakyat yang merupakan pengguna jalanraya.
Dengan itu apa-apa pun pendekatan hendaklah diambil oleh pihak berkuasa untuk mengorak langkah lebih kehadapan dalam usaha menghalang kemalangan daripada berlaku dan terus bertambah. Tubuhlah badan yang mengabungkan pelbagai agensi berkaitan lebih awal yang boleh memantapkan usaha pencegahan kemalangan dalam skala yang besar-besaran.
Badan ini atau entiti berkaitan dalam erti kata lain boleh ‘menyiasat’ lebih awal untuk mengenal pasti ‘ubat mujarab’ bagi menguruskan risiko kemalangan dan seterusnya mengurangkan statistik kemalangan jalanraya negara.