Mengurus Ketirisan Dalam Perbelanjaan Melalui Sifat Siddiq, Amanah, Fatonah dan Tabligh
Setiap kita akan berbelanja untuk memenuhi keperluan masing-masing. Daripada peringkat individu sehinggalah kepada organisasi, masing-masing menggunakan wang ringgit untuk tujuan ini. Sudah tentu mereka akan berhati-hati untuk membeli keperluan dengan harga berpatutan dan mempunyai kualiti yang baik. Ada yang menggunakan pihak kedua untuk memperolehi keperluan mereka. Majikan menggunakan pekerjanya dalam membuat perolehan organisasi.
Bagi individu, mereka akan menggunakan pertimbangan waras dalam merencana dan membuat penilaian dalam pembelian. Organisasi dan majikan pula menyediakan pelan dan peraturan dalam transaksi perolehan oleh kakitangan agar pengurusan kewangan memenuhi piawaian syarikat dan organisasi selain mendapat harga kompetitif dan barangan yang berkualiti.
Sungguh pun pelbagai peraturan telah dibuat untuk mencapai maksud perolehan yang berbaloi, ketirisan dalam perolehan terus berlaku. Barangan dibeli terlalu mahal daripada harga yang sebenarnya. Barangan yang diterima tidak berkualiti. Ini merupakan beberapa contoh yang kita dapat lihat.
Mengikut laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, termasuk untuk 2012, ketirisan dalam aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan kementerian dan agensi berkaitan kerajaan terus berlaku. Pelbagai langkah dan prosedur telah diambil untuk mengatasi ketirisan yang timbul ini.
Sebenarnya, secanggih mana pun peraturan yang ada, undang-undang yang kemas tetapi jika aspek kerohanian tidak diambil kira, maka kelemahan-kelemahan yang terjadi akan terus berisiko untuk berterusan.
Hakikatnya, sebagai orang Islam, aspek keagamaan perlu diletakkan di tempat pertama dalam urusan kehidupan. Dalam isu ketirisan yang berlaku ini, sebenarnya sifat-sifat terpuji baginda Rasulullah SAW iaitu benar, amanah, bijaksana dan sanggup menyampaikan adalah ikutan terbaik.
Dalam surah al-Ahzab ayat 21 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud “Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”. Nabi SAW sebelum diutuskan sebagai rasul telah pun dikenali sebagai seorang yang benar. Kaumnya menjadikan baginda sebagai tempat rujukan dan penyelesaian masalah. Sifat benar baginda SAW bukan sahaja pada percakapan bahkan perbuatannya.
Amanah memberi erti kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang yang jujur. Baginda SAW dikenali dalam masyarakat kaum Quraish sebagai al-amin iaitu seorang yang beramanah. Bahkan ketika puak yang menentang baginda SAW menawarkan kedudukan, harta dan wanita agar baginda SAW meninggalkan dakwah yang dibawanya, baginda lantas menegaskan bahawa biar pun jika matahari diletakkan di tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya agar meninggalkan amanah dakwah yang dipikul itu, maka baginda sesekali tidak akan berbuat demikian sehinggalah Allah memenangkan Islam atau baginda SAW hancur kerana memikul amanah berkenaan.
Tabligh memberi erti menyampaikan perkara yang baik. Dalam konteks baginda SAW, baginda menyampaikan segala wahyu Allah SWT kepada manusia tanpa berselindung sedikit pun termasuk teguran Allah SWT ke atas baginda ketika didatangi seorang buta.
Fatanah merujuk kepada bijaksana dan cerdas. Nabi SAW berdakwah dengan pendekatan yang bijak kepada kaum Quraish. Pendekatan ini digunakan baginda SAW ketika mengajak kaumnya kepada Islam dan ketika berdebat dengan mereka. Bahkan baginda menggunakan kecerdikan untuk menyatukan kaumnya yang suka bergaduh, berperang sesama suku mereka serta berpecah belah. Ini semua dibuat berdasarkan kepada sifat fatanah yang ada kepada baginda SAW.
Pengajaran daripada keempat-empat sifat nabi SAW jelas memberi petunjuk dan rujukan kepada kita selaku umat baginda di akhir zaman ini. Menghiasi diri kita dengan sifat benar, amanah, bertindak secara bijak dan menyampaikan perkara yang betul, memberi nasihat perkara yang membawa kebaikan adalah langkah penting yang perlu dijiwai.
Sebenarnya jika ikutan positif ini menjadi satu sistem nilai yang terbuku dalam jiwa, maka sudah tentu sebarang perbelanjaan yang dibuat akan dilakukan dengan penuh hikmah berteraskan kepada aspek kerohanian dan cintakan nabi SAW.
Pihak berwajib termasuk perkerja akan secara fitrah melakukan perolehan dengan telus dan berwibawa sehingga membawa kepada pengurangan risiko ketirisan dalam sebarang perolehan yang dilakukan.