Kekalkan Momentum Ramadan
Ramadan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan telah berlalu meninggalkan kita. Namun persoalannya sejauh manakah bulan yang dikatakan sebagai madrasah terbaik ini telah mentarbiahkan kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya?
Berjaya atau sebaliknya proses pentarbiahan ini adalah bergantung kepada sejauh manakah penghayatan kita dalam usaha melatih dan mengendalikan diri menjadi insan yang bertakwa. Jika segala ujian dan cabaran sepanjang bulan Ramadan dapat diatasi dengan cemerlang, maka pastinya kita juga dapat melawan gejolak hawa nafsu pada bulan berikutnya yakni syawal dan juga bulan-bulan lain yang seterusnya.
Ini amat bertepatan dengan roh Ramadan itu sendiri yang bermatlamat mewujudkan rasa ketakwaan dan meningkatkan tahap keimanan kepada Allah SWT. Ukuran sebenar sejauh mana matlamat Ramadan berjaya dicapai adalah melalui cerminan amalan dan tingkah laku yang ditonjolkan oleh seseorang individu dalam kehidupan seharian seusai Ramadan melabuhkan tirai.
Jika amalan dan tingkahlaku yang dipamerkan adalah selari sebagaimana yang telah dipraktikkan pada bulan Ramadan, bermakna seseorang individu itu telah berjaya menyerap roh Ramadan dalam erti kata yang sebenar. Begitu juga sebaliknya, yakni jika amal ibadah dan kehidupan sebelum dan selepas ramadan tetap sama, maka dikhuatiri amalan puasa kita pada tahun ini tidak bermutu dan rendah nilainya.
Alangkah malangnya seandainya perkara sedemikian berlaku kerana kita pastinya tergolong dalam maksud hadis Rasulullah s.a.w, yakni tidak memperolehi apa-apa daripada amalan puasa melainkan hanya sekadar lapar dan dahaga.
Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan berkenaan dan pentarbiahan Ramadan yang kita telah lalui berjaya menjadikan kita insan yang lebih baik bukan hanya pada bulan Ramadan, bahkan juga pada bulan-bulan yang mendatang.
Justeru, dalam usaha memastikan tarbiah ramadhan yang diterima tidak menjadi sia-sia, maka setiap daripada kita perlulah istiqamah melakukan amal ibadah dan berusaha dengan bersungguh-sungguh agar momentum Ramadan tidak goyah dan terus dapat dikekalkan sepanjang masa.
Sementelah, Allah sangat menyukai amalan yang istiqamah dan berkesinambungan. Ini kerana, prinsip istiqamah dan menjaga kesinambungan adalah merupakan bahagian yang tidak terpisah dalam rangkaian ibadah di dalam Islam dan menjadi roh yang menjiwai amalan tersebut sama ada berkualiti atau pun sebaliknya.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bagi memastikan kita terus istiqamah melakukan amal kebaikan dan menjaga kesinambungan amal ibadah selepas berakhirnya Ramadan dalam bulan-bulan yang berikutnya, kita boleh melakukan beberapa amalan.
Pertama, kita hendaklah sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara-perkara fardhu seperti solat lima waktu dan segera menqadakan puasa Ramadan yang tertinggal kerana dengan menunaikan perkara-perkara fardhu akan memberi manfaat dan kebaikan yang cukup besar dalam kehidupan seharian kita terutamanya dalam memperoleh redha Allah dan mencapai keberkatan hidup baik di dunia mahupun akhirat.
Kedua, kita hendaklah sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT dengan sesungguh hati supaya diberikan hidayah dan keteguhan iman secara berterusan agar sentiasa berada di landasan yang betul sebagaimana yang ditekankan oleh syariat Islam. Sesungguhnya Allah SWT sangat menyukai orang yang sentiasa berdoa supaya diberikan hidayah dan kebaikan dalam kehidupan mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Mereka berdoa dengan berkata):Wahai Tuhan Kami! Janganlah engkau memesongkan hati kami sesudah engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya”.
Ketiga, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun dalam kuantiti yang sedikit dan membaca ayat-ayat suci al-Quran secara berterusan serta berusaha menghafaznya dan dibacakan dalam solat fardhu dan juga sunat. Amalan ini harus dipupuk agar kita sentiasa berinteraksi, mempelajari, memahami isi kandungan al-Quran, dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya pada setiap masa sepanjang kehidupan kita. Dengan cara ini, mudah-mudahan semangat dan motivasi kita untuk beramal dan beribadah akan selalu terpelihara dan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Pertahankanlah dirimu bersama al-Quran ini, demi jiwa Muhammad yang ada ditangan-Nya, sesungguhnya al-Quran ini lebih cepat hilangnya daripada cepatnya ikatan tali unta yang terlepas (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Keempat, sentiasa berzikir kepada Allah SWT, di samping sentiasa beristigfar kerana ia merupakan amalan yang tidak sukar untuk dilakukan dan mempunyai manfaat yang begitu besar yakni dapat menguatkan iman dan juga meneguhkan hati seseorang individu.
Kelima, sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah, selain sentiasa berusaha mengenali dan menghayati sejarah hidup Rasulullah, para sahabat dan juga tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu melalui pembacaan atau kuliah agama kerana ia dapat memberi motivasi dan teladan yang baik dalam membangunkan jiwa yang mantap serta azam yang tinggi dalam diri kita.
Keenam, sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara-perkara mungkar yang boleh merosak dan mematikan hati seperti bersahabat dengan orang yang buruk akhlak dan tingkah lakunya, mengeluarkan kata-kata kesat serta lucah atau membaca majalah-majalah lucah dan seumpamanya. Perkara-perkara tersebut perlu dijauhi kerana ia boleh mengundang dan menyebabkan hati menjadi keras serta sukar untuk menerima hidayah Allah.
Ketujuh, segera bertaubat jika terlanjur melakukan dosa dengan taubat nasuha supaya tidak terjerumus kembali ke lembah kehinaan dan maksiat dengan izin Allah SWT, sementelah Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang bertaubat.
Mudah-mudahan dengan melakukan amalan-amalan berkenaan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh, segala rutin yang telah dilalui sepanjang bulan Ramadan akan terus berkesinambungan dan menjadikan kita seorang insan yang lebih beriman dan bertakwa.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan). Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah bersama orang yang berusaha memperbaiki amalannya” (Surah al-Ankabut, ayat 69).