Saya telah menerima beberapa surat letronik dari pelajar-pelajar sekolah dan universiti yang di antara lainnya meninjau pandangan dan meminta penjelasan tentang beberapa isu agama dan isu-isu lain juga yang sering mengelirukan mereka. Saya melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif dari pihak pelajar, kerana hal ini menunjukkan kesedaran mereka menggunakan teknologi maklumat untuk mendapatkan pengetahuan dan penjelasan yang mungkin tidak dapat atau tidak mahu mereka lakukan melalui forum lain.
Ada di antara pelajar itu yang menyatakan keengganan mereka untuk berkomunikasi dengan guru agama mereka disebabkan oleh beberapa keadaan, iaitu seperti perasaan malu, segan dan berbagai-bagai perasaan lain lagi, atau kerana sikap segelintir para guru mereka yang tidak dapat memahami masalah pelajar dari segi jiwa, latar belakang keluarga dan sebagainya. Dengan ini maka terdapatlah jurang pemisah di antara pelajar dan guru, dan para pelajar lebih senang menggunakan e-mail untuk bertanyakan sesuatu kepada pihak lain.
Terlepas dari prasangka buruk terhadap guru dan lain-lain, saya rasa dalam keadaan apa sekalipun para pelajar haruslah digalakkan untuk menggunakan saluran teknologi maklumat untuk mendapat penjelasan dan jawapan bagi sebarang kemusykilan mereka. Maka dalam hal ini saya fikir para bijak pandai agama seharusnya dapatlah membuka saluran komunikasi dengan para pelajar dan anggota masyarakat umumnya melalui teknologi maklumat untuk menyebarkan ajaran dan nilai-nilai agama kepada umum.
Sungguhpun teknologi maklumat telah digunakan agak meluas di negara kita melalui pembukaan laman-laman web untuk individu dan organisasi-organisasi yang tertentu, tetapi mungkin aktiviti ini tidak banyak melibatkan organisasi agama atau individu yang berotoriti dalam bidang agama di negara kita.
Para pelajar dan orang-orang dewasa juga ketika ini sering menghadapi berbagai-bagai persoalan agama dan isu-isu agama yang tidak dapat mereka pecahkan dan tidak dapat mereka fahami dengan baik.
Seorang pelajar menulis kepada saya setelah mendengar beberapa buah kaset tentang isu mayat menjadi khinzir dan bala bencana yang akan menimpa negara, maka pada mulanya ia merasa percaya dan yakin bahawa apa yang didengarnya itu adalah benar. Tetapi setelah berfikir berulang-ulang kali maka ia merasakan bahawa perkara-perkara itu adalah merupakan sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak dapat dipercayai. Maka ketika inilah ia perlu menghubungi orang yang lebih arif untuk mendapatkan pandangan yang sebenar tentang perkara tersebut.
Saya rasa amat baik sekali sekiranya pihak instituasi dan agensi agama serta individu-individu agama yang penting seperti para mufti mengambil kesempatan dari kemajuan teknologi maklumat ini bagi membuka saluran komunikasi dengan masyarakat umum terutamanya ketika masyarakat Islam dilanda berbagai-bagai cabaran pada masa kini.
Saya yakin bahawa para pelajar dan para remaja di negara kita sekiranya benar-benar dipupuk dan diberi peluang berkomunikasi, maka mereka akan mengambil peluang itu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Para remaja sekarang telah dapat menggunakan fikiran yang rasional dan membuka minda mereka secara positif sekiranya mereka diberi kesempatan dan dilayan secara positif.
Tetapi keadaan ini sering dirosakkan oleh isu dan persoalan-persoalan yang dikemukakan sebegitu rupa sehingga mengelirukan pandangan dan pemikiran mereka. Pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi dalam aktiviti keagamaan umpamanya sering dikelirukan oleh beberapa pihak yang tertentu, sama ada oleh aliran yang berasaskan fahaman sekularisma yang memandang agama sebagai sesuatu yang terpisah dan tidak mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian, atau yang melihat agama dalam konteks pecahan-pecahan dan bahagian-bahagian kecil yang tidak melibatkan seluruh aspek kehidupan manusia.
Golongan yang melihat Islam dalam konteks pecahan-pecahan tertentu ini yang sering menjadi hakim untuk menjatuhkan hukuman bahawa orang itu tidak “islamik” orang ini harus “bertaubat” dan sebagainya.
Seorang pelajar menulis kepada saya bahawa ia disuruh mengucap dua kalimah syahadah sekali lagi oleh kawannya, semata-mata kerana ia sedang mempelajari undang-undang sivil dan mengakui bahawa dalam undang-undang tersebut terdapat unsur-unsur keadilan untuk masyarakat sejagat. Ia disuruh mengucap dua kalimah syahadah sekali lagi kerana dengan pengakuannya itu, ia seolah-olah redha dengan undang-undang “barat” dan “sekular” itu dan redha dengan sistem kehakiman yang ada sekarang!
Pelajar ini cuba menjelaskan bahawa ia yakin dengan keadilan dan undang-undang Islam, malah undang-undang Islam sendiri mempunyai unsur-unsur keadilan sejagat yang dapat diterima dan dilaksanakan di mana-mana saja, maka unsur-unsur keadilan sejagat inilah yang dikongsi bersama oleh semua sistem perundangan yang ada sekarang. Apakah dengan itu dia telah dianggap murtad? Apakah perbincangan begitu telah menjejaskan akidahnya sebagai seorang Islam?
Maka dalam keadaan inilah para remaja dan pelajar kita memerlukan bimbingan dan panduan yang jelas dari pihak yang lebih berwibawa dalam agama untuk seorang pelajar lain menulis kepada saya dengan mengemukakan pertanyaan kenapakah ayah seorang pelajar perempuan yang dikatakan murtad tempoh hari tidak membunuh sahaja anaknya kerana dia mendengar bahawa hukum bagi seorang yang murtad itu ialah bunuh? Pelajar ini bertanya lagi apakah seorang ayah akan sangup membunuh anaknya sendiri?
Hal ini ditimbulkan oleh pelajar tersebut kerana kes-kes perundangan seperti ini sering dikemukakan dalam bentuk fatwa dan hukumannya sahaja, tanpa membicarakan soal prosedur dan acara, kesaksian dan keterangan kes, kewibawaan hakim, mensabitkan hukum dan sebagainya. Para pelajar sendiri dapat memahami dengan baik isu ini sekiranya mereka tidak hanya diterangkan tentang hukum, tetapi diterangkan juga peranan mahkamah dalam menetapkan hukum ini, proses perbicaraan, kewibawaan saksi, keterangan dan bukti serta lain-lain, yang sebenarnya merupakan proses yang panjang dan kompleks sebelum sesuatu hukum itu dijatuhkan.
Oleh itu anak-anak muda kita amat memerlukan pengetahuan ini, dan amat memerlukan penjelasan yang lanjut, tidak hanya mengetahui hukum bagi sesuatu undang-undang itu sahaja.
Berdasarkan hal inilah, para bijak pandai Islam haruslah melibatkan diri dalam teknologi maklumat dan dapat menggunakannya untuk kemanfaatan golongan muda dan masyarakat umumnya.