Menyaksikan perasmian KL 98 pada 11 September yang lalu merupakan penyaksian yang membicarakan kemegahan dan jati diri bangsa Malaysia. Mungkin selama bertahun-tahun di bangku sekolah mendengar dan mempelajari tentang cintakan negara dan memupuk semangat patriotisma, tidak sama dengan beberapa jam sahaja bagi seorang pelajar atau anak muda yang menghadiri perasmian KL 98 untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dan semangat waja sebagai seorang patriot sejati.
Setiap individu rakyat Malaysia yang menghadiri perasmian tersebut mengetahui dan menghayati apakah artinya semangat cintakan negara dan bangsa. Refleksi wajah, sorak sorai, duduk bangun setiap penonton pada malam ini merupakan ungkapan-ungkapan bahasa yang penuh makna mengisi slogan Malaysia Boleh.
Maka Malaysia yang berada dalam kategori negara membangun, yang pada anggapan sesetengah pihak yang cemburu atau membencinya tanpa sebab, sebagai sebuah negara lemah dan tidak berdaya menganjurkan sesuatu temasya bertaraf dunia, pada malam perasmian tersebut dan pengendalian program-program sukan itu hingga ke hari ini, seterusnya hingga ke hari penutup nanti, telah membuktikan kepada dunia akan keupayaan dan kemampuannya.
Keupayaan dan kemampuan yang ditunjukkannya bukanlah hanya sekadar keramaian biasa atau bunyian-bunyian bising yang usang, tetapi dengan temasya ini negara kita memperlihatkan kemajuannya dalam bidang teknologi dan industri, tradisi murni dan budaya tinggi yang mencorakkan masyarakat majmuknya yang aman harmoni dan mesra, bukan hanya sesama manusia, tetapi juga dengan alam sekitar, fauna dan flora, berkongsi kuasa dan harta, kestabilan ekonomi, politik dan negara seluruhnya.
Saya rasa kemampuan menganjurkan temasya sukan kedua terbesar selepas Olimpik ini, memperlihatkan juga hakikat bahawa negara kita yang termasuk dalam kumpulan negara-negara lslam (OIC) juga boleh mengambil tugas ini dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Imej pentadbiran negara-negara Islam yang mungkin pada hakikatnya, atau pada andaian-andaian dari pihak-pihak tertentu, adalah lemah dan tidak berdisiplin diharapkan dapat diperbaiki dengan penganjuran KL 98 ini dan dapat dibuktikan kepada dunia bahawa negara Islam juga dapat mengambil tanggungjawab ini dan melaksanakannya dengan penuh kejayaan.
Sukan sebenarnya bukanlah satu agenda asing dalam masyarakat Islam. Dalam pendidikan Islam sering ditekankan tentang tiga ciri pendidikan penting insan, iaitu pendidikan jasmani, akli, dan rohani. Keharmonian dan kesepaduan di antara tiga ciri pendidikan dan potensi manusia dalam ketiga-tiga dimensi inilah yang dapat membentuk manusia yang sempurna untuk kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat.
Seperti yang kita tahu dalam sejarah lslam, di antara pendidikan penting bagi anak-anak ialah pendidikan fizikal yang dilaksanakan dalam tiga jenis aktiviti, iaitu berenang, memanah dan menunggang kuda.
Pendidikan yang bercirikan ketiga-tiga unsur aktiviti ini menggabongkan pembangunan fizikal dan mental untuk mendapatkan kejayaan dan mencapai matlamat bagi orang-orang yang melakukannya. Ia memerlukan pemusatan fikiran dan mental serta kekuatan fizikal yang mantap untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan.
Dari aktiviti yang agak mudah dan sederhana ini, maka orang-orang Islam haruslah memperkembangkannya bagi mencakupi jenis-jenis sukan lain yan lebih canggih dan terkini dengan syarat ianya berada dalam tahap-tahap yang dibenarkan agama, dan para bijak pandai Islam sendiri haruslah positif dalam membincangkan isu-isu sukan dan agama untuk mencari penyelesaian yang sesuai dengan prinsip-prinsip Islam itu sendiri.
Hal ini saya timbulkan kerana terdapat beberapa kalangan dalam masyarakat Islam yang berg anggapan negetif terhadap semua jenis sukan, atau yang tidak komited untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu isu yang dianggap kontraversial mengenai sukan dalam konteks nilai-nilai Islam. Satu penyelesaian haruslah dicari sekiranya terdapat sesuatu yang agak ketara pertikaiannya dari segi pandangan Islam.
Berbalik kepada perasmian KL 98, saya rasa acara itu telah dapat menggabungkan ciri-ciri yang menonjolkan jati diri negara dari segi pendaulatan bahasa, budaya, seni dan tradisi sosial masyarakat Malaysia.
Bahasa Melayu digunakan dengan agak meluas melambangkan bahasa perpaduan bangsa Malaysia yang sama taraf dengan bahasa-bahasa besar lain di dunia.
Ciri-ciri keagamaan dilahirkan dengan agak menonjol dalam pengucapan-pengucapan nama Allah, doa restu dan ungkapan-ungkapan bahasa persembahan yang mengakui kekuasaan dan kebesaran Allah. Malah keperihatian penganjur terhadap penonton-penonton Islam wajar dipuji, apabila penonton diberi rehat pada waktu Maghrib untuk menunaikan sembahyang dipuluhan surau yang terdapat disekeliling stadium tanpa perlu melangkah lebih jauh keluar stadium.
Sesungguhnya persediaan kemudahan beribadat dan ruang masa yang diberikan dengan mencukupi untuk orang-orang Islam menunaikan sembahyang telah memadamkan kebimbangan yang saya lahirkan dalam ruangan ini dulu tentang isu ini. Dengan itu ruang untuk mencela dan merungut kepada penganjur tentulah tidak ada sama sekali, kerana kewajipan untuk beribadat sama ada mahu atau tidak mahu menunaikannya adalah terletak kepada diri dan individu masing-masing.
Sesungguhnya juga perasmian KL 98 yang telah berlangsung dengan selamat dan penuh meriah itu telah dapat melenyapkan spekulasi-spekulasi kosong tentang kegagalan atau kecelakaan yang akan berlaku pada malam perasmian itu.
Berlangsungnya acara perasmian itu dengan selamatnya merupakan satu anugerah Allah S.W.T yang seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran, dan sekali gus mengajar kita supaya tidak mempercayai cerita-cerita palsu dan khurafat yang disebarkan sejak bertahun-tahun dulu.