ISLAM adalah agama yang mampu membimbing manusia memenuhi fitrah keperluan kejadiannya sama ada di peringkat individu atau sosial. Panduannya bersesuaian pada setiap masa dan tempat.
Islam jika dihayati akan membolehkan manusia mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Pencapaian ini akan menjadi kenyataan apabila pendekatan
Islam dilaksana secara syumul dan sempurna dalam sesebuah negara.
Sumber asas kepada panduan Islam adalah al-Quran dan sunnah. Pada dasarnya al-Quran dan sunnah memberi panduan melalui prinsip umum dalam
hal penyusunan dan pembangunan sosial negara semoga ia sentiasa bersesuaian dengan masa dan tempat.
Al-Quran dan sunnah juga menggariskan dasar spesifik untuk arahan kehidupan manusia. Bagaimanapun, arahan berbentuk spesifik berkaitan
kehidupan sosial manusia, agak sedikit.
Berpandukan kepada falsafah tauhid, al-Quran menganjur semoga prinsip� al’adl wal ihsan (keadilan dan muafakat) menjadi asas dan teras dalam
menyusun dan membangun sebuah masyarakat bernegara.
Allah berfirman dengan maksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah
melarang dari perbuatan keji kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada mu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl, ayat 90)
Prinsip keadilan adalah asas dinamik untuk mengatur dan melaksana urusan sosial dalam negara. Berurusan sesama manusia memerlukan teras kukuh
semoga ia menepati nilai kemanusiaan. Justeru, sistem sosial negara yang berteraskan semangat keadilan akan mampu mewujudkan suasana harmoni.
Islam juga berpandangan bahawa semua orang dalam masyarakat memerlukan kepada kerjasama dan muafakat dalam semua urusan sosial. Adalah sesuatu yang lumrah bahawa keistimewaan dan kepakaran seseorang mempunyai ciri kekuatan berbeza.
Pandangan ini begitu berbeza dengan falsafah ideologi sekular yang memberi perhatian penting kepada unsur perbezaan dan minat seseorang,
dengan memberi justifikasi kepada semangat dan pendekatan individualisme dalam menyusun masyarakat bernegara. Pendekatan ini akan menimbul banyak kepincangan kepada keharmonian dan kestabilan masyarakat yang seterusnya membantut kemajuan negara.
Pendekatan Islam menganjur kepada semangat muafakat.
Dengan mengambil pendekatan Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat bernegara, pemerintah perlu memberi keutamaan kepada strategi keadilan sosial (al `adl al ijtima’ iyyah) dalam membangun negara. Hasilnya jaminan sosial kepada masyarakat akan tercapai.
Jaminan sosial boleh difahami, di mana dalam sesebuah masyarakat semua keperluan asas kehidupan untuk individu dan masyarakat berfungsi di
peringkat minimum dapat diwujud dan dihayati.
Islam dari awal memperincikan jaminan sosial melalui tanggungjawab wajib kepada individu seperti nafkah dan zakat. Islam juga menggalakkan umatnya bersedekah serta melakukan hibah dan wakaf. Jika tanggungjawab individu itu, masih tidak mampu menyelesaikan keperluan asasi sebilangan ahli masyarakat, mekanisma cukai boleh dikenakan kepada orang berada. Ini untuk membolehkan pihak pemerintah menyelesaikan jaminan sosial kepada ahli masyarakat yang tidak bernasib baik.
Dalam menyusun dan membangun negara melalui strategi keadilan sosial, sektor awam (pemerintah) pada asasnya perlu memenuhi keperluan asasi
rakyat melalui pencapaian faktor berikut:
* Berusaha dengan jayanya semoga setiap rakyat dapat menghayati kehidupan beragama melalui proses pendidikan dan pengamalan nilai agama
dalam semua urusan kehidupan di peringkat individu dan masyarakat.
* Mampu menaikkan taraf daya fikir dan kemahiran hidup untuk semua lapisan masyarakat supaya mereka bebas daripada buta huruf dan memiliki
kualiti ilmu munasabah. Dengan itu, mereka mampu menjalankan kehidupan secara berkesan dalam semua keadaan masa. Pendekatan ini sekali gus mampu membasmi kemiskinan rakyat.
* Memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada masyarakat berkaitan hak menyuarakan pandangan dalam semangat beradat dan bebas, semoga negara ditadbir berlandaskan prinsip syura, telus dan harmoni.
* Memberi jaminan kepada semua ahli masyarakat semoga mereka bebas untuk menentu atau berkecimpung dalam mana-mana kegiatan kehidupan, termasuk urusan ekonomi di dalam dan luar negara.
* Mengurus kestabilan ekonomi negara semoga guna tenaga penuh, kestabilan paras harga, pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi
berprestasi mampan mampu berterusan.
* Pemerintah perlu sentiasa berusaha membina sebuah masyarakat bertamadun yang dapat memberi keyakinan secara optimis kepada generasi
masa depan, bahawa negara akan terus berjaya dan cemerlang. Bahkan mengikut Islam kecemerlangan adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan
dari semasa ke semasa secara berterusan.
Dengan mengambil strategi membangun negara melalui keadilan sosial, semua aspek kecemerlangan masyarakat bernegara dalam bidang politik,
ekonomi dan budaya akan dicapai dengan seimbang dan berterusan.
Semua aspek itu berkait rapat dan kejayaan berterusan akan dinikmati dengan adil secara bersama.
Dalam proses pembangunan ada yang mengambil pendekatan yang menumpu sepenuhnya kepada usaha menjayakan agenda pertumbuhan ekonomi. Aspek lain seperti pembasmian kemiskinan, keruntuhan akhlak dan kejahilan beragama dianggap sebagai perkara sampingan yang boleh diselesai, selepas negara berjaya dengan pencapaian prestasi ekonomi.
Pendekatan pembangunan yang diasaskan kepada semangat sistem liberal demokrasi kapitalis tidak mungkin secara komprehensif berjaya menghasilkan keadilan sosial, selepas mencapai pertumbuhan ekonomi. Bahkan pertumbuhan ekonomi turut terjejas dalam tempoh jangka panjang seperti dialami di Eropah dan Amerika Syarikat.
Pada abad ke-19, ekonomi Eropah begitu menonjol. Abad ke-20 pula milik Amerika. Pada masa ini, mereka menghadapi masalah pertumbuhan ekonomi dan keperluan keadilan sosial rakyat turut terjejas. Lebih daripada itu, tamadun kemanusiaan turut menghadapi krisis ketara sehingga masyarakat mereka hilang pedoman hidup.
Pengalaman di Eropah dan Amerika mengajar kita pendekatan yang perlu dalam menyusun negara. Contohnya, Wawasan 2020 dengan jelas dan yakin mengutarakan acuan sendiri atau model pembangunan sepadu bersesuaian dengan nilai tempatan dalam memaju negara pada abad ke-21.
Kita dengan itu perlu yakin dan tegas merasakan model pembangunan Barat tidak sesuai walaupun dari segi pembangunan ekonomi, mereka mencatat rekod� cemerlang pada peringkat awal. Selain itu, rekod negatif seperti keruntuhan nilai kemanusiaan yang mengakibatkan kepada kepincangan sosial dan alam persekitaran turut membebani kehidupan mereka. Berikutan itu, perkembangan ekonomi mereka turut terjejas.
Oleh itu, pemerintah perlu mengambil pendirian bahawa strategi keadilan sosial dalam membina pembangunan negara adalah satu pendekatan bersesuaian dengan Islam dan bersifat dinamik.