Pelantikan ‘Umar ibn al-Khattab (sekitar 584–644 M) sebagai Khalifah al-Rashidin yang kedua pada 634 mengisyaratkan kesinambungan dasar menghantar ekspedisi ketenteraan untuk menyebarkan Islam yang tidak lama kemudian meliputi Syria, Mesir, Afrika Utara, Armenia, dan Palestin.
Kemenangan umat Islam dalam pertempuran Yarmuk pada September 636 menggagalkan rancangan Maharaja Heraclius untuk merebut semula Syria dengan itu menamatkan pemerintahan Byzantin di sana. Ia membuka jalan bagi Khalifah ‘Umar untuk membebaskan wilayah termasuk Jerusalem di Palestin, sebuah kota yang mempunyai kepentingan besar dari segi agama dan rohani.
Kota itu yang bukan sahaja terletak sebagai titik pertemuan geopolitik tiga benua iaitu Asia, Afrika, dan Eropah tetapi juga di tengah-tengah bumi Palestin, dianggap suci oleh tiga agama utama di dunia: Yahudi, Kristian, dan Islam.
Umat Islam mengenali Jerusalem sebagai al-Quds (Kawasan Perlindungan) atau Bayt al-Maqdis (Rumah Disucikan), kota suci ketiga selepas Makkah dan Madinah, yang kawasannya Masjid al-Aqsa diberkati oleh Allah ‘azza wa jalla (Surah al-Isra’,(17):1).
Ia menyaksikan berkumpulnya dengan izin Allah para Anbiya’ dan Rasul, dari Adam hingga ‘Isa, dalam solat jemaah yang diimami oleh Nabi Muhammad s.a.w. justeru menjadi tanda peristiwa penuh rahmat dan keajaiban yang dikenali sebagai al-Isra’ wa’l-Mi‘raj.
Di tengah-tengah al-Aqsa al-Sharif (Kawasan Mulia) terletaknya al-Sakhrah al- Musharrafah (Batu yang Dimuliakan), digelar sedemikian oleh kerana ia tempat dari mana Rasulu’Llah s.a.w. naik ke langit untuk bertemu Allah ‘azza wa jalla dan menerima perintah solat fardu lima waktu.
Suatu ketika pada November 636, ‘Umar menghantar Abu ‘Ubaydah mengepalai seramai 20,000 tentera Rashidin untuk mengepung dan menawan kota Bayt al-Maqdis. Setelah enam bulan, Sophronius (c. 560–638 M), Patriark Gereja Holy Sepulchre, akhirnya menyerahkan kota itu.
Khalifah ‘Umar secara peribadi datang untuk menerima kunci kota itu daripada Sophronius, yang kemudian membawanya melawat pelbagai tempat suci dan tempat ibadat termasuk Gunung Kuil Yahudi dan al-Aqsa al-Sharif. Khalifah ‘Umar segera memerintahkan pemulihan setelah melihat tempat-tempat itu dalam keadaan usang dan terbiar.
Khalifah ‘Umar dan Sophronius kemudiannya menandatangani perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian ‘Umar (‘Aqd ‘Umar atau al-‘Uhdah al-‘Umariyyah) yang menjamin perlindungan nyawa, harta benda, dan tempat ibadat.
Dengan berkuat-kuasanya perjanjian itu, Bayt al-Maqdis kekal di bawah penjagaan orang Islam selama 400 tahun berikutnya sehinggalah 1099 apabila tentera Salib dari Eropah datang untuk menaklukinya.
Sebagaimana yang dicatatkan oleh sejarawan Ibn al-Qalanisi (w. 1160 M) yang menyaksikan pencerobohan tanah orang Islam yang dinamakan Perang Salib Pertama, tentera Salib membunuh sesiapa sahaja daripada penduduk kota yang mereka temui termasuklah wanita dan kanak-kanak. Menjelang Disember 1099, puluhan ribu penduduk Yahudi dan Islam di kota itu telah terbunuh dalam kekejaman yang berlaku.
Sumber Barat memberikan kisah yang lebih dahsyat dan mengerikan. Sebagaimana William, Uskup Agung Tyre, menggambarkannya: “Tiada belas kasihan ditunjukkan kepada sesiapa pun dan seluruh tempat itu dibanjiri dengan darah mangsa.”
Orang Islam mengambil masa 80 tahun lamanya untuk pulih selepas pencerobohan awal itu. Dua dekad sebelum berakhirnya abad ke-12, seorang pemimpin yang dikenali sebagai Salahuddin al-Ayyubi (memerintah 1174–1193 M) muncul dan dalam masa empat tahun beliau berjuang untuk membebaskan Bayt al-Maqdis.
Menjelang 1187, ketumbukan tentera gabungan yang diketuai oleh Salahuddin telah mencecah seramai 40,000 orang dan memperolehi momentum yang cukup besar dalam kempen ketenteraan menentang Tentera Salib. Pada 2 Oktober, mereka akhirnya berjaya membebaskan kota Bayt al-Maqdis daripada cengkaman kuasa asing.
Berbeza dengan penaklukan Babylon dan Rumawi sebelum ini yang setiap kali padanya penakluk memusnahkan Kuil Yahudi dan membunuh ribuan penduduk kota, tidak berlaku baik penodaan mahupun pembunuhan beramai-ramai pada kemasukan masing-masing Khalifah ‘Umar dan Sultan Salahuddin ke Bayt al-Maqdis; sesiapa yang ingin meninggalkannya dibenarkan berbuat demikian dengan selamat bersama-sama semua harta benda milik mereka.
Selain tempoh masa yang singkat pemerintahan Tentera Salib, lebih dari 1,200 tahun pemerintahan Islam yang aman dan baik di al-Quds menjadi bukti bahawa umat Islam adalah penjaganya yang terbaik.
Kepimpinan orang Islam adalah satu-satunya kuasa yang telah memerintah al-Quds dan pada masa yang sama telah diberi kepercayaan untuk membuka kota itu kepada semua. Hanya apabila al-Quds berada di bawah kuasa Islam barulah keamanannya dapat dinikmati oleh semua penganut tiga agama utama di dunia.