Mengimbas kembali memori ketika pulang bercuti di kampung baru-baru ini, seorang jiran menghulurkan satu plastik buah-buahan yang ketara sekali sudah lama tidak dilihat dan dimakan. Namanya tidak lagi dapat disebut apatah lagi rasa dan tekstur buah tersebut juga tidak dapat diingati. Nama buah kiat rupanya semakin hilang di ingatan bagi generasi yang lahir pada 80-an, apatah lagi untuk dikenali oleh generasi muda pada hari ini. Inilah nasib yang akan terjadi kepada tumbuhan arboretum atau pokok nadir sekiranya pada hari ini tiada usaha untuk menanam semula dan memelihara tumbuhan tersebut.
Pada hari ini, tumbuhan arboretum telah ditanam semula sebagai satu koleksi pokok nadir yang dipelihara dalam kawasan khas untuk tujuan kajian saintifik, pendidikan, konservasi dan demonstrasi oleh pihak yang bertanggungjawab. Tidak dapat dinafikan bahawa langkah tersebut memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem dan kesihatan manusia. Usaha pemuliharaan spesies nadir amat diperlukan kerana terdapat ancaman terhadap kehilangan habitat dan aktiviti eksploitasi hutan yang boleh menyebabkan kepupusannya. Oleh itu, arboretum berfungsi sebagai pusat pemuliharaan untuk memastikan spesies-spesis terancam dan tidak lagi dikenali tersebut terus lestari. Bayangkan sekiranya tiada usaha konservasi pusat arboretum tersebut, sudah pasti generasi akan datang tidak mengenali pokok-pokok nadir dan tidak dapat memanfaatkan kelebihannya terutama sekali manfaat kesihatan dan kesejahteraan.
Manuskrip perubatan Melayu dan beberapa manuskrip lama lain banyak membincangkan penggunaan tumbuhan dalam perubatan tradisional. Walaupun istilah arboretum tidak disebut secara spesifik, banyak tumbuhan yang sering ditemui dalam arboretum di Malaysia turut dicatat sebagai sumber ubatan dan pemakanan. Tumbuhan arboretum seperti herba dan pokok buah-buahan sering menjadi sebahagian daripada perubatan tradisional sepertipokok cermai,kemenyan, mengkudu, tongkat ali, cekur, kacip fatimah, lempoyang, pokok gelam dan lain-lain. Hal ini juga sejajar dengan prinsip Islam untuk mencari penawar kepada penyakit yang dihidapi oleh umat manusia. Allah SWT menciptakan tumbuhan sebagai sumber makanan, penawar dan manfaat untuk manusia sepertimana maksud daripada surah an-Nahl ayat 69 yang bermaksud; “Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”.
Pemeliharaan dan penanaman semula tumbuhan nadir ini bukan sahaja membantu melestarikan warisan perubatan tradisional tetapi juga memastikan generasi baharu dapat terus menikmati manfaat kesihatan yang ditawarkan. Selain nilai perubatan yang dapat diperolehi, penanaman semula tumbuhan arboretum juga dapat mengekalkan biodiversiti melalui peningkatan penyerapan karbon dioksida, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida yang mencemari persekitaran serta sebagai penapis semulajadi bahan pencemar dan debu. Ini membantu meningkatkan kualiti udara terutamanya di kawasan bandar yang sering tercemar. Penanaman pokok-pokok nadir memberi impak kepada alam sekitar melalui pengurangan jejak karbon seterusnya dapat mengurangkan pemanasan global.
Oleh kerana landskap semulajadi persekitaran di bandar khususnya amat terhad, maka ruang arboretum yang mampu menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat harus dimanfaatkan secara maksimum. Usaha pemulihan tersebut perlu dibugarkan secara berterusan untuk mempromosikan kesihatan dan meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang kepentingan pokok-pokok nadir yang ditanam semula dan dipelihara kelangsungannya. Penyepaduan penanaman arboretum ke dalam perancangan bandar juga boleh meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat sambil memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang penjagaan alam sekitar.
Pokok-pokok nadir yang hampir pupus pada hari ini sepatutnya ditanam semula bukan hanya di kawasan yang dikhaskan tetapi juga mungkin boleh ditanam di tepi jalan atau kawasan perumahan yang seringkali ditanam dengan pokok hiasan lain. Pihak pemaju, perancang bandar dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil perhatian terhadap hal ini dan mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Selain menghijaukan kawasan sekitar, tumbuhan tersebut menjadi sumber makanan dan manfaatnya juga dapat diperolehi oleh masyarakat setempat.
Dengan mengutamakan pembangunan dan penyelenggaraan ruang hijau arboretum dalam sesebuah komuniti boleh memupuk populasi yang lebih sihat dan berpengetahuan seterusnya menyumbang kepada kehidupan bandar yang mampan. Selain itu, kerjasama antara komuniti tempatan dan pengurusan arboretum boleh meningkatkan kesedaran awam tentang alam sekitar, menjamin kedaulatan makanan setempat seterusnya memastikan program-program kesedaran dapat disesuaikan untuk menangani cabaran alam sekitar yang semakin meruncing pada hari ini. Justeru, penglibatan komuniti yang lebih besar amat penting untuk mengukuhkan komitmen terhadap kesihatan diri dan kemampanan alam sekitar dalam menghadapi urbanisasi yang pesat.
Persekitaran hijau seperti tumbuhan arboretum dapat mengurangkan stres, kemurungan dan tekanan mental. Ini kerana pengalaman berinteraksi dengan alam semula jadi dapat membantu menenangkan minda, meningkatkan fokus dan menyumbang kepada kesejahteraan psikologi. Kini, ramai yang menggunakan pendekatan terapi alam semulajadi atau ecotherapy sebagai usaha meningkatkan kualiti kesihatan yang lebih baik.
Walaupun manfaat pokok nadir amat signifikan dalam kehidupan masyarakat, kesedaran terhadap kepentingannya masih kurang dan perlu ditingkatkan. Justeru, langkah dan inisiatif ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat perlu dilaksanakan dan dilestarikan untuk melindungi dan memanfaatkan tumbuhan arboretum demi kebaikan generasi kini dan akan datang.
Program pendidikan awal alam sekitar perlu diperkenal di peringkat sekolah rendah dan menengah melalui pelbagai aktiviti seperti lawatan ke arboretum, bengkel penanaman pokok serta pengenalan kepada sains ekologi. Pendekatan ini dapat membantu generasi muda memahami kepentingan tumbuhan dan peranannya dalam kehidupan. Media sosial, televisyen, dan radio berperanan sebagai platform untuk menyebarkan maklumat tentang tumbuhan arboretum bahkan komuniti setempat juga boleh menganjurkan acara seperti Hari Arboretum atau program sukarela penanaman pokok. Institusi seperti universiti, taman botani dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk menjalankan penyelidikan, seminar dan pameran berkaitan pokok nadir. Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam tetapi juga membuka peluang kepada masyarakat untuk turut serta dalam usaha konservasi. Penggunaan teknologi seperti AI boleh dimanfaatkan dengan pembangunan aplikasi mudah alih untuk memaparkan maklumat tentang spesies pokok arboretum dan manfaat kesihatan. Teknologi ini juga menyebabkan pendidikan alam sekitar lebih mudah diakses dan menarik serta mendorong masyarakat mengambil bahagian dalam program pemantauan dan penjagaan pokok. Tumbuhan arboretum bukan sahaja aset ekologi tetapi juga penawar untuk pelbagai isu kesihatan moden. Penanaman semula tumbuhan nadir seperti yang disebut dalam manuskrip perubatan Melayu turut menjadi langkah penting untuk melindungi pengetahuan tradisional Melayu seterusnya menjadi nilai kesihatan dan kesejahteraan demi kebaikan generasi dan alam sejagat.