Tahun 2025 dijangka sebagai tahun untuk bergerak pantas dan berlari seiring dengan pekembangan dalam sains dan teknologi. Manusia kini tidak hanya bersaing sesama sendiri bagi mendapatkan tempat, bahkan terpaksa bersaing pula dengan “kecerdasan buatan.” Realiti ini pahit, namun terpaksa ditelan. Anak-anak muda semakin sukar mendapat pekerjaan yang setara dengan “kepandaian” mereka.
Satu masa dahulu, mendapat tawaran belajar di universiti dirai seisi kampung kerana tidak ramai yang mendapat peluang tersebut. Kini, belajar di peringkat tertiari menjadi satu kemestian bagi yang ingin mendapat pekerjaan dalam sektor profesional dan lain-lain yang mensyaratkan kelulusan tertiari. Justeru, lambakan anak-anak muda yang “pandai” pada masa kini telah menjadi satu pemandangan biasa.
Dengan tempat pekerjaan yang diingini terhad, masih ramai yang belum mendapat pekerjaan; terperangkap dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kemahiran; atau, menceburi dalam segmen pekerjaan informal.
Terperangkap dalam keadaan ini, anak muda adakalanya tidak dapat memenuhi tahap gaji idaman mereka. Lebih malang jika gaji yang diterima bukan sahaja tidak dapat menampung kos sara hidup semasa, bahkan menyebabkan mereka sukar membayar semula pembiayaan pendidikan.
Peningkatan gaji, tangani inflasi
Bagaimanapun, permulaan tahun 2025 ini dilihat memberi perubahan bagi sebahagian pekerja Malaysia yang terlibat dalam peningkatan gaji. Kumpulan pekerja yang sebelum ini tertakluk kepada gaji minimum RM1500 akan menerima gaji minimum baharu RM1700 bermula pada 1 Feb 2005 dan 1 Ogos 2025 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.
Manakala kumpulan pekerja sektor awam yang menikmati peningkatan gaji baharu bermula pada Disember 2024 lagi menerusi Sistem Saraan Pekhidmatan Awam (SSPA) yang baharu. Peningkatan gaji juga dijangka akan meningkatkan inflasi, selain daripada rancangan penstrukturan semula beberapa komoditi utama.
Bagaimanapun ia adalah satu langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan kuasa membeli sebahagian masyarakat agar mereka dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik; dan, menyusun semula perbelanjaan negara secara strategik.
Oleh yang demikian, sangat penting bagi masyarakat kekal membuat perbelanjaan berhemah walaupun menikmati peningkatan gaji. Elakkan daripada membuat hutang yang tidak perlu. Dalam masa yang sama, kekal positif untuk meneroka peluang memiliki aset seperti rumah mampu milik bagi yang tiada dan pendapatan sampingan.
Usaha bersama wujud ekonomi adil
Sebenarnya, usaha untuk meningkatkan gaji tidak boleh hanya digerakkan oleh satu pihak sahaja, iaitu kerajaan melalui tindakan memperkanunkan undang-undang. Ini kerana campur tangan secara berlebihan boleh mengakibatkan suasana ekonomi yang tidak adil kepada pelbagai pihak.
Sebagai contoh, peningkatan gaji minimum tanpa langkah seiring untuk memperbetul tingkat gaji sektor pekerjaan yang lain boleh menyebabkan jurang gaji di antara pekerja separuh mahir dengan pekerja berkemahiran rendah semakin mengecil. Keadaan ini seterusnya akan menyukarkan usaha meningkatkan gaji graduan berdasarkan tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman mereka.
Kesan yang mungkin lebih buruk ialah apabila anak muda ini mula merasakan bahawa tahap pendidikan tertiari tidak lagi memberikan mereka kelebihan apabila gaji permulaan tidak banyak beza dengan gaji minimum yang dikanunkan.
Suasana begini dikhuatiri mengakibatkan ramai muda enggan menyambung pelajaran kerana akan terbeban dengan kos pengajian dan gaji yang tidak setimpal. Sedangkan, pendidikan tertiari sangat penting dalam pembentukan pekerja berkemahiran tinggi yang menyokong aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Bahkan di dalam Islam, menuntut ilmu memberi kelebihan kepada manusia. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, “…nescaya Allah SWT meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat” (Surah Al-Mujadilah, 58: 11).
Tingkatkan kemahiran, usah malu ubah gaya hidup
Dalam hal mereformasikan gaji, majikan dan pekerja sebenarnya mempunyai peranan masing-masing yang tersendiri. Bagi seorang pekerja, khususnya anak muda, tidak dapat tidak perlu meningkatkan kemahiran sedia ada atau menambah kemahiran yang baharu.
Kemahiran yang baik dan terkini akan meningkatkan produktiviti. Produktiviti pula menjadi satu timbal balas adil kepada majikan untuk menaikkan kadar upah kepada pekerja.
Menafikan imbalan wajar kepada pekerja yang menyumbang produktiviti tinggi pula adalah satu bentuk kezaliman. Sedangkan zalim itu satu perbuatan yang dilarang dalam Islam kerana mencetuskan ketidakseimbangan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Takutlah kamu akan berbuat zalim. Kerana perbuatan zalim itu menyebabkan kegelapan kelak di hari kiamat” (Hadis Sahih Muslim).
Semakin ramai individu “pandai” dalam pasaran pekerjaan, namun tidak ramai yang berjaya mengaplikasikan ilmu dalam pekerjaan. Takut melakukan kesilapan dan tiada motivasi untuk berkreativiti menyebabkan produktiviti pekerja hanya mendatar.
Sedangkan kepandaian yang dimiliki hendaklah dipraktikkan dalam tugasan pekerjaan. Pepatah arab menyebut “ilmu tanpa amal, ibarat pohon tak berbuah.” Pekerja harus berani mengambil risiko; mencadangkan buah fikiran segar; dan, menyuarakan pandangan dalam menyelesaikan setiap tugasan.
Walaupun menikmati peningkatan gaji, individu harus mempunyai gaya hidup yang sederhana. Usah malu untuk mengubah gaya hidup ke arah lebih lestari dan sihat. Individu juga disaran untuk hidup pada tahap satu di bawah kemampuan kewangan yang sebenar. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap gaji pekerja Malaysia khususnya anak muda sejajar dengan aspirasi sebuah negara maju. Penetapan gaji minimum tidak menangani kos sara hidup sebenar; bersifat sementara; dan, tidak menyelesaikan masalah lebih mendasar—tahap gaji pekerja Malaysia masih rendah. Justeru usaha kerajaan ke arah reformasi gaji yang lebih baik perlu disokong semua pihak.