Usaha negara untuk mewujudkan masyarakat komersial dan pengindustrian bumiputera memerlukan kepada satu pendekatan yang menyeluruh dan mantap. Justeru itu penekanan yang khusus kepada pembentukan sikap dan pembinaan akhlak peribadi yang cekap dan luhur adalah prasyarat yang penting. Kecapaian sifat tersebut akan menjamin usahawan dapat berperanan secara efektif, mampu bersaing dan menjadi penentu kepada kejayaan ekonomi negara berpanjangan.
Di samping sikap dan perilaku yang integriti, usahawan Melayu harus juga perlu memiliki wawasan, berfikiran kritikal, dan optimis. Pandangan yang sentiasa jauh ke hadapan sangat perlu memandangkan perkembangan perniagaan sekarang lebih mencabar dan cara berniaga berubah dengan kadar yang begitu ketara sekali pada masa sekarang. Untuk memiliki generasi usahawan yang berwawasan, kritikal, dan optimis mereka seharusnya turut memahami keadaan ekonomi, politik, dan budaya. Tanpa kefahaman tersebut sukar untuk mereka menguasai perkembangan masyarakat semasa. Kefahaman tersebut dapat membentuk perspektif yang menyeluruh untuk mereka berperanan secara berkesan, relevan dan progresif.
Usahawan Melayu dan Islam adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Agama Islamlah yang mencorakkan budaya orang Melayu. Justeru itu, pendekatan Islam kepada aktiviti perniagaan perlu menjadi panduan.
Islam sebagai agama, mengiktiraf kedudukan istimewa golongan usahawan. Mereka adalah golongan utama yang membangun sektor perniagaan. Justeru itu budaya hidup yang di anjur oleh Islam berbentuk pelbagai dimensi menepati tabii kemanusiaan. Ciri tersebut mampu menjadi asas yang progresif dalam pembentukan masyarakat komersial dan pengindustrian bumiputera.
Dalam apa sahaja usaha tindakan manusia, menghayati hukum tabii adalah penentu kepada kejayaan. Sebagai agama fitrah, pendekatan Islam menepati tuntutan tersebut.� Pada lumrahnya jika sesuatu tindakan di ambil bertentangan dengan hukum tabii, contohnya, strategi perniagaan seperti memaksimumkan keuntungan pada masa yang singkat, pengusaha tersebut tidak mungkin menguasai pasaran komoditi tersebut secara berpanjangan. Strategi alternatif, contohnya, menguasai pasaran memerlukan kepada kemampuan bersaing melalui kualiti proses pengeluaran yang efisien, produk yang berkualiti dan harga produk yang paling kompetitif. Pendekatan strategi alternatif ini dalam perniagaan menepati prinsip akhlak Islam.
Budaya niaga mengikut Islam membicarakan bagaimana aliran pemikiran, peranan dan cara sesebuah masyarakat berniaga. Oleh itu bagi Islam, budaya niaga perlu bersandarkan kepada falsafah tauhid. Falsafah tauhid yang berasas kepada keimanan terhadap keesaan hanya kepada Allah s.w.t. Ia memberi satu perspektif bermasyarakat dengan memberi tumpuan kepada usaha memenuhi pelbagai dimensi keperluan manusia dan mengutamakan kesepaduan di antara nilai akhlak dengan segala kegiatan manusia, termasuk dalam urusan perniagaan.
Tauhid menganjur budaya niaga yang berpaksi kepada nilai keadilan dan kerjasama. Oleh itu urusan perniagaan hendaklah dijayakan dalam konteks untuk mewujud satu masyarakat yang bertamadun mulia dan bukan untuk mewujud budaya rakus yang mencari peluang untuk mengumpul kekayaan untuk diri melalui amalan penindasan atau penipuan dengan mengambil jalan pendek semungkin.
Budaya niaga Islam yang progresif mempunyai ciri berikut:
Pertama, oleh kerana berkecimpung dalam perniagaan di anggap sebagai tuntutan keagamaan dan ibadah, organisasi dan usahawan Melayu seharusnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti prestasi perniagaannya. Kualiti prestasi perniagaan adalah sebagai nilai positif yang mampu sentiasa dimajukan. Pandangan tersebut memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya semoga mempertingkatkan kualiti dan saiz perniagaan adalah usaha yang berterusan untuk kesemua lapisan masyarakat Islam.
Budaya niaga Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman (built in mechanism) iaitu menghubungkan usaha dan menjalani perniagaan sebagai tuntutan keagamaan. Keimanan dan prestasi perniagaan dengan itu ada hubung kait yang rapat. Bagi seseorang usahawan Melayu yang ingin menghayati Islam, beliau seharus turut berusaha meningkatkan prestasi niaga dari masa ke semasa.
Mekanisme dalaman ini sepatutnya memotivasikan usahawan Melayu. Tetapi pada realiti semasa, usahawan Melayu tidak memahami Islam secara menyeluruh dan melihat amalan perniagaan sebagai sesuatu yang berpisah dari paksi keagamaan.
Kedua, menepati semangat tauhid yang menganjurkan bahawa sifat-sifat yang terdapat dalam diri manusia berada dalam satu kesatuan, usahawan Melayu seharusnya menjaga dan mempertingkatkan akhlak dirinya dalam menjalani amalan perniagaannya. Peningkatan prestasi dan saiz niaga seharus melalui peningkatan akhlak usahawan.
Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang positif dan dinamik. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak yang positif kepada kemajuan perniagaan dari kesemua dimensi. Oleh itu, agama menuntut umatnya supaya sentiasa kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa budaya akhlak yang tinggi prestasi niaga akan menghadapi kemelesetan.
Ketiga, budaya niaga Islam hendaklah memberi tekanan yang tinggi kepada disiplin. Umat Islam, melalui penghayatan ibadat khusus, seperti solat, puasa, zakat dan haji sepatutnya memiliki disiplin yang tinggi. Masyarakat tanpa disiplin akan pasti menghadapi krisis kemanusiaan.
Islam memberi perhatian khusus tentang pengurusan kuasa, masa dan sumber pembuatan. Islam mengutuk dengan sekerasnya kepada mereka yang tidak mengguna kuasa dengan efektif dan menghormati masa. Begitu juga dengan penggunaan sumber-sumber dalam proses pengeluaran dan penggunaan. Allah menghubung kait mereka yang membazir sama dengan amalan syaitan.
Keempat, menepati semangat tauhid yang menganjurkan kepada kesatuan dalam matlamat dan penghayatan roh syura dalam tindakan bermasyarakat, Islam menganjur kepada budaya niaga secara bermuafakat dan berpasukan.
Bagi Islam, pada fitrahnya keberkesanan dalam menjalani perniagaan akan tercapai melalui semangat berniaga secara bermuafakat dan berpasukan. Semangat ini secara tidak langsung diberi perhatian yang utama oleh budaya masyarakat Jepun. Pengamalan perniagaan tersebut adalah salah satu ciri yang membangun prestasi ekonomi Jepun.
Usahawan Melayu justeru itu perlu memiliki kefahaman dan keyakinan yang tinggi kepada panduan Islam itu sendiri untuk maju dalam membudaya amalan Islam dalam aktiviti perniagaan mereka.