Pembangunan ekonomi dan perubahan sosial yang dibawa bersamanya membawa pelbagai kesan kepada institusi keluarga. Walaupun ada kesan positifnya, namun kesan negatifnya adalah lebih ketara lagi.
Perkembangan ekonomi yang berlaku sekarang ini menuntut penglibatan lebih ramai kaum wanita ke sektor pekerjaan. Walaupun wanita bekerja bukanlah sesuatu yang asing sejak dahulu lagi, namun dalam keadaan sekarang di mana sistem keluarga meluas tidak lagi menjadi suatu kebiasaan, ia menimbulkan pelbagai masalah kepada institusi keluarga itu sendiri.
Memandangkan betapa seriusnya perkara ini, maka satu forum telah diadakan di peringkat antarabangsa khusus bagi membincangkan tentang keluarga dalam konteks pembangunan ekonomi.
The 1995 Asia Policy Forum ini telah diadakan di Chiang Mai, Thailand pada 27 – 29 November 1995 dengan membawa tema Economic Development, Social Progress and Family Change in the East-Asian Hemisphere’ (Kemajuan Ekonomi, Pembangunan Sosial dan Perubahan Keluarga di Hemisfera Asia-Timur). Forum yang telah dianjurkan oleh The Asia Australia Institute dan The Social Policy Research Centre Universiti New South Wales ini telah dihadiri oleh wakil-wakil dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Australia, China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam.
Berbagai isu telah dibincangkan dalam forum tersebut. Antaranya ialah definisi keluarga dalam abad ke-20, apa yang telah terjadi kepada institusi keluarga dalam era pembangunan ekonomi yang pesat, bagaimana keluarga menjalani hidup sehariannya dalam pembangunan ekonomi dan perubahan corak pekerjaan, peranan yang patut dimainkan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan, golongan korporat dan lain-lain untuk membantu institusi keluarga menghadapi masalah-masalah ini, dan strategi-strategi yang boleh diambil untuk membantu institusi keluarga dalam era pembangunan ekonomi yang pesat ini.
Dalam forum tersebut, para peserta saling berkongsi pendapat tentang pengalaman di negara masing-masing. Namun, dalam beberapa perkara jelas didapati bahawa kita menghadapi masalah yang sama. Dari satu segi didapati bahawa berbagai masalah sosial telah melanda institusi keluarga. Fenomena seperti perceraian, keganasan rumahtangga; ibu atau bapa tunggal dan masalah di kalangan remaja merupakan fenomena yang semakin menjadi-jadi di semua negara. Bagi sesetengah keluarga pula masalah penjagaan anak bila suami isteri bekerja, masalah untuk mendapatkan pembantu rumah, bentuk keluarga nuklear yang menjadi kelaziman menyebabkan kesukaran untuk bergantung kepada keluarga meluas, masalah untuk mendisiplin anak dan sebagainya menjadi semakin meruncing.
Antara konsensus yang telah diputuskan dalam forum tersebut ialah satu sistem sokongan sosial hendaklah diwujudkan agar dapat membantu institusi keluarga menangani berbagai masalah yang timbul. Ini dirasakan wajar kerana jika pembangunan ekonomi yang kita inginkan, dan ini menuntut lebih ramai kaum wanita untuk bekerja di luar rumah, maka bantuan yang sewajarnya haruslah diberi untuk memudahkan mereka, sekaligus menyelamat atau memperkukuhkan institusi keluarga itu sendiri.
Untuk mewujudkan sistem sokongan sosial ini berbagai pihak boleh memainkan peranan. Kerajaan, badan bukan kerajaan, majikan dan media boleh bersama-sama menyumbang ke arah ini.
Dalam Belanjawan 1996 ada dinyatakan bahawa peruntukan yang secukupnya bagi menubuhkan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di setiap jabatan kerajaan akan disediakan. Ini merupakan salah satu contoh bagaimana kerajaan telah memainkan peranannya dalam hal ini. Insentif yang diberi kepada pihak swasta untuk tujuan yang sama juga telah secara tidak langsung menjadi penggerak kepada sektor swasta untuk memainkan peranan mereka. Dengan adanya pusat-pusat penjagaan kanak-kanak ini, ibu-ibu yang bekerja tidak lagi perlu risau tentang masalah penjagaan anak semasa mereka keluar bekerja. Ini juga berkemungkinan untuk menarik ramai surirumah untuk menceburkan diri dalam bidang pekerjaan memandangkan penjagaan anak-anak kecil semasa mereka keluar bekerja tidak lagi akan mendatangkan masalah.
Satu lagi contoh di mana kerajaan telah menunjukkan keprihatinannya dalam isu sistem sokongan sosial ini ialah dalam cadangannya untuk menubuhkan pusat asuhan khusus untuk warga tua. Masalah penjagaan warga tua juga merupakan satu masalah yang meruncing dewasa ini. Kadangkala suami isteri yang kedua-duanya bekerja agak keberatan untuk menjaga ibu atau bapa yang tua kerana kesukaran untuk mendapatkan pembantu rumah. Untuk menjaga anak-anak yang kecil pun mereka menghadapi masalah, inikan pula menjaga ibu bapa yang tua, yang juga memerlukan jagaan yang tidak kurang rapinya. Oleh itu, seringkali tanggungjawab menjaga golongan tua ini diberi kepada adik-beradik lain yang tidak bekerja. Persetujuan bersama biasanya dicapai agar adik atau kakak yang tidak bekerja, menjaga ibu atau bapa yang tua ini. Namun, dengan penubuhan pusat asuhan khusus untuk orang tua, di mana ibu bapa tadi dihantar pada waktu pagi dan dijemput pada waktu petang, mungkin lebih ramai anak yang bekerja akan memelihara ibu bapa mereka.
Pusat ini yang dicadangkan penubuhannya secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebajikan Semenanjung Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, adalah satu contoh di mana kerajaan dan badan bukan kerajaan dapat menggembeling tenaga untuk menawarkan khidmat kepada institusi keluarga. Diharapkan lebih banyak usaha seumpama ini dapat dilaksanakan dalam berbagai bidang perkhidmatan yang dirasakan perlu.
Selain dari dua aspek penjagaan penjagaan tadi, iaitu anak kecil dan ibu bapa yang tua, pusat asuhan bagi anak-anak di peringkat sekolah rendah dan anak-anak yang disable juga harus ditubuhkan untuk membantu keluarga-keluarga yang memerlukannya.
Dalam menguruskan anak-anak yang di sekolah rendah, tidak kurang ibu bapa yang mengawasi anak-anak mereka dari pejabat, melalui telefon. Anak-anak tadi akan terus pulang ke rumah setelah habis waktu persekolahan dan si ibu akan menelefon anak-anak ini pada setiap jam untuk memastikan yang anaknya itu sudah makan, mandi, membuat kerja sekolah dan sebagainya. Sama ada cara ini sesuai atau tidak, ia telah membantu banyak keluarga dalam mengatasi masalah penjagaan anak semasa ibu keluar bekerja. Namun, tidak dapat dinafikan ia juga mungkin ada kesan-kesan negatif yang lain. Mungkin boleh difikirkan untuk mewujudkan pusat penjagaan anak-anak di peringkat umur ini untuk menjaga mereka sekembalinya mereka dari sekolah sehingga habis waktu pejabat. Sekurang-kurangnya, keselamatan anak-anak ini akan terjamin sementara menanti ibu bapanya balik dari pejabat. Mungkin organisasi-organisasi sukarela dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam bidang ini.
Pihak media juga boleh memberi sumbangan ke arah ini. Televisyen misalnya, mungkin boleh memperbanyakkan rancangan berunsur kaunseling, di mana penonton dapat meluahkan masalah mereka dan cuba mencari penyelesaiannya berpandukan kepada bimbingan kaunselor. Rancangan seperti Bicara Hati yang disiarkan di TVl itu mungkin dapat dimanfaatkan oleh institusi keluarga di negara kita. Dengan membuat siaran seperti ini, bukan masalah sebuah keluarga sahaja yang cuba diselesaikan tetapi banyak keluarga lain yang menghadapi masalah yang sama dapat memanfaatkannya. Tambah pula, khidmat kaunseling yang seperti ini didapati secara percuma. Usaha yang seperti ini ternyata telah mendatangkan manfaat kepada institusi keluarga di Korea seperti yang telah diakui oleh seorang peserta forum yang disebutkan tadi.
Berbagai bentuk perkhidmatan yang lain mungkin boleh difikirkan. Yang penting, perkhidmatan tersebut hendaklah yang dapat meringankan beban yang ditanggung oleh institusi keluarga.
Dalam menuju era negara maju ini, penubuhan pusat-pusat seumpama ini tidak seharusnya diharapkan kepada kerajaan semata-mata. Adalah lebih baik sekiranya ia ditubuhkan di peringkat komuniti itu sendiri. Dalam kata lain, ianya ditubuhkan dalam kawasan penempatan kita sendiri, dengan kewangan yang dikumpulkan dalam komuniti itu sendiri dan diusahakan oleh orang-orang setempat juga. Para surirumah, pesara dan sesiapa sahaja yang merasakan dapat menyumbang, boleh menyumbangkan tenaga untuk tujuan ini. Namun, perancangan teliti adalah perlu untuk memastikan kelancaran program ini.
Tiada salahnya jika kita ingin memajukan negara. Namun, jika fokusnya ialah ekonomi semata-mata, maka pincanglah pembangunan tersebut. Perubahan sosial yang dibawa oleh pembangunan ekonomi memerlukan lebih ramai kaum wanita untuk bergiat di luar rumah. Di samping menjadi pekerja, kaum wanita juga merupakan isteri dan ibu yang mempunyai berbagai tanggungjawab yang lain. Malah, setiap dari kita, baik lelaki, mahupun perempuan, selain ingin bekerja untuk mencari nafkah, kita juga ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan terhadap ibu bapa yang melahirkan kita, juga anak-anak yang menjadi pewaris kita.
Seringkali, secara tidak kita sedari, dalam usaha untuk menjadi pekerja yang efisyen dan dedikasi, kita mengabaikan tanggungjawab kita ini. Bukan niat kita untuk melakukan begitu, namun keadaan menyebabkan kita tiada alternatif lain. Oleh itu, untuk memastikan keutuhan institusi keluarga di negara kita, sistem sokongan sosial haruslah diwujudkan bagi memudahkan setiap ahli dalam keluarga untuk menangani masalah-masalah yang timbul dalam era pembangunan ekonomi yang pesat ini.