Malaysia telah menampakkan dirinya sebagai sebuah negara Islam di dunia yang berada di ambang kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, dan hingga kini merupakan satu-satunya negara Islam yang berjaya menggunakan teknologi berat sehingga dapat mengeksport kereta buatannya ke negara-negara luar. Hal ini seharusnya dapat menjadi model yang baik bagi negara Islam yang dinamik, dan diharap akan dapat mengembalikan semula kecemerlangan tamaddun yang pernah berkembang subur di tangan orang-orang Islam pada satu ketika dahulu.
Oleh yang demikian, konsep ilmu dan sains haruslah diberi definisi dan pentafsiran baru, agar dapat diatasi kesalahfahaman dan dikotomi yang-wujud di antara Islam dan ilmu, atau di antara Islam dan sains. John Esposito menegaskan bahawa pengkajian tentang modenisasi dalam negara-negara Islam sering mengundang dikotomi palsu, iaitu di antara tradisi lawan perubahan, fundamentalisma lawan modenisasi dan kebekuan lawan kemajuan dan pembangunan. (Islam and Politics, N.Y. 1977). Sebenarnya dalam Islam tidak pernah wujud dikotomi ini selama mana Islam itu diambil sebagai sistem hidup menurut syariah dan berpandukan kepada sistem moralnya.
Malaysia haruslah mampu mengeluarkan sarjana Islam yang menguasai semua bidang ilmu. Ibn Khaldun, Ibn Sina, Ibn Rushd, Imam al-Ghazali dan sarjanasarjana Islam lainnya adalah sarjana-sarjana Islam yang menguasai bidang masingmasing iaitu sebagai ahli sosiologi, perubatan, falsafah, tasauf dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama mereka berjaya menyepadukan ilmu-ilmu profesional tersebut dengan aspek kerohanian dan nilai-nilai moral yang tinggi serta perwatakan yang berteraskan sahsiah Islam yang unggul. Pembinaan” Negara dan Bangsa
Tidak perlu diulang lagi di sini bahawa pembinaan negara dan bangsa Malaysia tidak dapat dilakukan dengan penuh kejayaan sekiranya komitmen terhadap nilai-nilai agama, etika dan moral tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya serentak dengan pembangunan fizikal dan material.
Dari aspek Islam, maka Islam telah menunjukkan bukti tentang hal ini di dalam diri Rasulullah S.A.W. sendiri, iaitu baginda tidak hanya merupakan ketua dan pemimpin kerohanian semata-mata, malah baginda adalah merupakan ketua negara yang diasaskan buat pertama kalinya dalam sejarah pada abad ke-7 lagi. Baginda merupakan pengasas bagi sistem sosio-politik yang kukuh dan konkrit. Hal ini jarang, malah mungkin tidak langsung dibicarakan di Barat sebagai satu kriteria negara dan masyarakat Islam dalam zaman moden, terutamanya di kalangan masyarakat Kristian Barat yang berpegang teguh kepada falsafah Give unto the king what belongs to him, and give unto God what is His.
Perlembagaan Negara
Secara ringkasnya, tanpa bertujuan untuk membincangkan masalah-masalah teknikal dan isu-isu khilafiah, perlembagaan negara mengikut kehendak agama mestilah merangkumi tiga prinsip berikut :-
- Patuh kepada perintah Allah, RasulNya dan pemimpin yang berautoriti. “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan orang yang berkuasa di kalangan kamu” (Surah An Nisa’ ayat 59).
- Bekerjasama ke arah menegakkan kebenaran dan keadilan, yang bererti bahawa asas aktiviti manusia mestilah ditegakkan di atas kemurnian moral dan akhlak, tidak semata-mata di atas aktiviti politik.”Dan bantu membantulah kamu untuk kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bantu membantu untuk kedosaan dan permusuhan” (Surah Al Maidah ayat 2).
- Pemerintah hendaklah memutuskan sesuatu dasar berasaskan permesyuaratan. Pandangan majoriti hendaklah dihormati di dalam kerangka dan dasar yang sah. “Dan urusan mereka adalah permesyuaratan di antara mereka” (Surah As Syura ayat 38).
Berdasarkan prinsip-prinsip di atas dapatlah disimpulkan bahawa:-
(a) Islam membenarkan penggubalan undang-undang untuk menyelesaikan masalah semasa yang dihadapi mengikut perubahan-perubahan yang berlaku, selama mana undang-undang itu tertakluk kepada prinsip-prinsip di atas.
(b) Autoriti untuk merrumpm negara adalah terserah kepada semua golongan, bukan kepada golongan yang tertentu sahaja.
(c) Dari sudut ekonomi dan sosial, fungsi negara ialah menegakkan kesederhanaan dengan menghapuskan syaitan kemiskinan dari satu pihak dan syaitan kekayaan dari satu pihak yang lain.
“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebihlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan (Surah Al A’raf ayat 31).
(d) Dasar menegakkan kebaikan (makruf) dan menjauhkan keburukan (mungkar) hendaklah dijadikan asas semua aktiviti dan perancangan negara, iaitu yang merangkumi perancangan moral, intelektual, perundangan, kebajikan, pendidikan, kesenian, sukan dan sebagainya. “Hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (Surah Al Imran ayat 104).
(e) Perincian dan pentafsiran tentang prinsip dan kod undang-undang yang didapati daripada sumber syariah, iaitu Quran dan Sunnah, . hendaklah dilakukan oleh semua institusi yang mewakili institusi ulamak, perundangan, profesional dan lain-lain untuk memantap dan menegakkan kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan negara secara berterusan.
Dalam hal ini, ulamak seharusnya mengambil langkah-langkah utama dan peranan penting bagi mencapai tujuan tersebut.
Perhubungan Antarabangsa
Dalam zaman pembangunan senjata nuklear dan komunikasi yang serba canggih sekarang ini, Islam boleh menyumbang ke arah perdamaian dunia dengan nilai-nilai murninya melalui konsep persaudaraan sejagat dan dasar toleransi yang luas. (Surah An Nisa’ ayat 128)
Oleh kerana negara-negara Islam yang telah merdeka selama ini ada di antaranya yang mempunyai imej yang agak negatif seperti radikal, berkiblatkan kepada Washington atau Beijing dan satu masa dahulu kepada Moscow dan Komunisma, anti Barat secara melulu, atau pro Barat secara total, pergaduhan kaum dan konflik yang berpanjangan, perpecahan dan peperangan saudara yang menjejaskan maruah dan ekonomi, ketidakstabilan politik dan sosial kerana rasuah dan pemerintahan kuku besi, dan berbagai-bagai pencemaran lain yang memburukkan wajah negara-negara itu, maka negara Islam seperti Malaysia hendaklah tampil ke hadapan untuk memperbaiki pencemaran tersebut.
Umat Islam haruslah memecah kebuntuan isu-isu ini secara serius dan menunjukkan modelyang baik kepada dunia Barat tentang kelebihan Islam.
- Langkah pertama ke arah membangunkan negara-negara Islam dan umatnya ialah mewujudkan perpaduan di antara negara dan umat Islam. Faktor bagi perpaduan negara dan umat bukanlah ‘sebarang isma yang diimport dari Washington atau Moscow, malah Islam haruslah menjadi model sejagat dan unsur perpaduan.
- Kesalahfahaman tentang definisi jihad dalam Islam haruslah dijelaskan dengan sebaik-baiknya, iaitu jihad tidaklah semata-mata bermakna perjuangan bersenjata di medan perang secara zalim, tetapi merangkumi berbagai-bagai aspek menegakkan kebenaran dan melaksanakan kebaikan serta kebajikan, di samping menolak segala kejahatan dan penindasan.
- Umat Islam sendiri haruslah memahami istilah-istilah nasionalisme, sekularisme, materialisme dan sebagainya sebagai dasar dan falsafah negara atau individu agar umat Islam tidak terperangkap di dalam arena tuduh menuduh dan fitnah memfitnah sesama sendiri sebagai sekular, asabiyyah dan sebagainya kerana kegagalan memahami istilah-istilah itu sebagai falsafah dan ideologi. Ciri-ciri sekular di dalam kehidupan seseorang itu belum tentu menunjukkan orang itu mempunyai ideologi sekular sebagai falsafah hidupnya.
Maka dalam hal ini, Malaysia mestilah mengekalkan komitmennya menjadi negara yang mantap untuk menjadi penyumbang ke arah memulihkan maruah dan nama baik Islam dan umatnya. Ulamak Islam haruslah menjadi model yang terbaik dalam hal ini sebagai “role model” atau kepimpinan melalui teladan yang perlu diisikan dengan sebaik-baiknya.
Malaysia dapat menunjukkan contoh dan model yang baik dalam hal ini, kerana Malaysia dapat memenuhi beberapa kriteria negara yang dinamis dan kuat, di antaranya :-
- Keadaan dalam negara yang aman dan harmoni. Perpaduan kaum.
- Kestabilan dan kematangan politik, ekonomi dan sosial.
- Dasar luar yang tegas dan sentiasa menentang penindasan dan kezaliman.
- Komited kepada nilai-nilai moral, etika dan agama seperti yang digariskan di dalam wawasan negara.
Maka dalam hal ini, Malaysia mestilah mengekalkan komitmennya menjadi negara yang mantap untuk menjadi penyumbang ke arah memulihkan maruah dan nama baik Islam dan umatnya. Ulamak Islam haruslah menjadi model yang terbaik dalam hal ini sebagai “role model” atau kepimpinan melalui teladan yang perlu diisikan dengan sebaik-baiknya.
Malaysia dapat menunjukkan contoh dan model yang baik dalam hal ini, kerana Malaysia dapat memenuhi beberapa kriteria negara yang dinamis dan kuat, di antaranya :-
- Keadaan dalam negara yang aman dan harmoni. Perpaduan kaum.
- Kestabilan dan kematangan politik, ekonomi dan sosial.
- Dasar luar yang tegas dan sentiasa menentang penindasan dan kezaliman.
- Komited kepada nilai-nilai moral, etika dan agama seperti yang digariskan di dalam wawasan negara.