Mencerap anak bulan merupakan satu perkara yang dilakukan secara rutin dalam Islam bagi menentukan permulaan bagi setiap bulan Hijri. Walaupun perkara ini kelihatan lebih menonjol sewaktu penentuan permulaan bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah, hakikatnya proses pencerapan ini dilakukan setiap bulan.
Ada dalam kalangan ahli masyarakat yang tertanya-tanya kenapa umat Islam perlu mencerap anak bulan sedangkan bulan itu sentiasa ada di ruang angkasa mengorbit Bumi. Tambahan pula, pengiraan astronomi pada zaman ini mampu dibuat dengan sangat tepat.
Persoalan seperti ini mungkin tidak terlalu difikirkan oleh kebanyakan orang Islam tetapi yang pasti, perkara ini berlegar-legar dalam pemikiran sesetengah pihak termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam terutamanya sewaktu pengumuman permulaan Ramadan dan Syawal dilakukan. Bagi sebahagian masyarakat bukan Islam, tradisi ini mungkin kelihatan unik dan menimbulkan kebingungan.
Jawapan kepada persoalan ini dapat dilihat daripada sudut sejarah, agama dan kaedah kalendar Hijri dibangunkan sejak lebih 14 abad yang lalu. Perkara paling asas yang perlu difahami ialah kalendar Hijri yang digunakan oleh umat Islam adalah berasaskan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.
Hal ini berbeza dengan kalendar Masihi yang digunakan secara meluas di seluruh dunia yang berdasarkan kepada pergerakan bumi mengelilingi matahari. Satu bulan dalam kalendar Hijri bermula apabila hilal atau anak bulan, iaitu bulan sabit yang sangat nipis, muncul di langit selepas matahari terbenam. Fenomena alam ini menandakan bahawa kitaran bulan yang baharu telah bermula.
Amalan mencerap hilal ini bukan sekadar tradisi budaya. Pencerapan hilal mempunyai asas yang jelas dalam ajaran Islam. Islam mengajar umatnya untuk memulakan dan menamatkan ibadah tertentu berdasarkan penampakan bulan. Oleh itu, pencerapan hilal menjadi satu kaedah yang diwarisi semenjak zaman awal Islam untuk menentukan waktu-waktu penting dalam ibadah.
Perkara ini amat penting kerana banyak amalan utama dalam Islam bergantung kepada permulaan bulan tertentu. Permulaan puasa ditentukan dengan bermulanya bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri pula menandakan berakhirnya bulan tersebut, dan Aidiladha berkait dengan bulan Zulhijah. Sekiranya penentuan bulan tidak dilaksanakan dengan tepat, waktu ibadah yang berkait dengan puasa, zakat fitrah dan haji tidak dapat disempurnakan oleh umat Islam.
Bagi masyarakat moden yang terbiasa dengan kalendar Masihi, pendekatan mencerap hilal ini mungkin kelihatan tidak praktikal. Namun, pada zaman awal Islam, kaedah mencerap hilal sebenarnya sangat praktikal dan bersifat inklusif. Pencerapan pada waktu itu tidak memerlukan peralatan canggih atau pengetahuan astronomi yang kompleks. Sesiapa sahaja yang mempunyai penglihatan yang baik dalam keadaan langit yang cerah boleh mencerap hilal.
Amalan mencerap hilal ini juga mempunyai sisi kemasyarakatan yang menarik. Di banyak negara, usaha mencerap hilal dilakukan oleh pakar falak atau pihak berkuasa agama di lokasi tertentu. Apabila hilal berjaya dilihat, pengumuman rasmi akan dibuat kepada seluruh negara.
Detik pengumuman ini sering dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya menjelang Ramadan atau Aifilfitri. Saat pengumuman dilakukan menzahirkan satu rasa kebersamaan yang tidak ditemukan dalam sistem kalendar moden.
Walaupun demikian, perlu disedari bahawa dunia Islam hari ini tidak menolak peranan sains. Dalam banyak negara, pengiraan astronomi atau kaedah hisab digunakan untuk mengunjurkan kedudukan bulan dan kebarangkalian hilal boleh dilihat.
Maklumat ini membantu pihak berkuasa menentukan lokasi dan masa terbaik untuk melakukan cerapan. Dalam kata lain, sains moden digunakan untuk menyokong amalan tradisional ini dan bukan menggantikannya sepenuhnya.
Perdebatan tentang sama ada umat Islam patut bergantung sepenuhnya kepada pengiraan astronomi atau terus mengekalkan kaedah melihat hilal terus wujud dalam kalangan sarjana Islam. Namun, kebanyakan negara memilih pendekatan gabungan kedua-duanya iaitu menggunakan pengiraan saintifik sebagai panduan tetapi masih mengekalkan prinsip melihat hilal untuk membuat pengesahan sebagai simbol kesinambungan tradisi.
Bagi orang bukan Islam, penting untuk memahami bahawa amalan ini bukan sekadar soal menentukan tarikh. Pencerapan hilal mencerminkan hubungan antara manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan antara manusia dengan alam tabii.
Pencerapan hilal mengingatkan umat Islam bahawa masa tidak hanya diukur oleh jam dan kalendar tetapi juga oleh pergerakan alam yang menjadi sebahagian daripada ciptaan Allah SWT. Dalam dunia moden hari ini yang dimangkinkan oleh teknologi digital dan kecerdasan buatan, tradisi mencerap hilal akan kelihatan sederhana atau biasa-biasa jika dibandingkan dengan kecanggihan teknologi yang ada.
Namun, bagi berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia, saat menunggu pengumuman penampakan hilal setiap tahun adalah satu pengalaman yang penuh makna yang menggabungkan akidah, fiqh, semangat kemasyarakatan dan kekaguman terhadap alam semesta ciptaan Ilahi.
Apabila perkara ini difahami, semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam akan dapat melihat bahawa amalan mencerap hilal bukanlah sesuatu yang ketinggalan zaman tetapi satu tradisi yang terus hidup segar dan disesuaikan dengan kemajuan sains dan teknologi tanpa mengorbankan akar sejarah, dimensi kemasyarakatan dan sisi kerohanian.

