Dalam kitab Jami‘ al-Tirmidhi ada dirakamkan sepotong hadith (no. 2269) yang menyebut: “Panji-panji Hitam akan keluar dari Khurasan; tiada yang dapat menghalangnya sehinggalah mereka memasuki kota suci Bayt al-Maqdis (takhruju min Khurasan rayat sud la yarudduha shay’un hatta tunsaba bi-Iliya’).”
Kawasan geografi yang pernah dikenali sebagai Khurasan meliputi sebahagian besar negara Uzbekistan hari ini dan khususnya bandar Samarkand; sebahagian besar Afghanistan termasuklah kota-kota besarnya Kabul (timur), Kandahar (selatan), dan Herat; sebahagian dari Iran termasuklah kota-kota Tus, Sarakhs, Nishapur, dan Jurjan; dan sebahagian Turkmenistan.
Sebarang pandangan yang tempang terhadap sejarah Khurasan boleh mengaburkan hakikat bahawa ia pernah suatu masa dahulu menjadi pusat keilmuan dan peradaban Islam. Kekaburan demikian hanya mengundang kumpulan-kumpulan jahat seperti DAESH untuk memperalatkan hadith-hadith akhir zaman dalam mengabsahkan tindakan ganas dan melampau atas nama agama.
Mereka itulah yang mengambil kesempatan atas kejahilan dengan menyalahgunakan hadith tanpa mengambil kira konteks dan kefahaman yang menyeluruh bagi mengumpan dan mengkaderkan golongan jahil lagi terpedaya supaya menyertai perjuangan haram mereka.
Sebaliknya, apabila Islam memasuki sesuatu kawasan, ia menyumbang ke arah pembangunan tamadun dan kebudayaan. Menurut sejarawan dan pemikir Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya Historical Fact and Fiction (2011), penyerapan unsur-unsur asas agama Islam yang berlaku tanpa penyingkiran unsur-unsur terpuji pra-Islam yang mengikat masyarakat dan sesuai dengan Islam dapat memunculkan kepelbagaian budaya orang Islam yang boleh dihimpun dan dicirikan sebagai peradaban Islam.
Demikian pernah dizahirkan oleh orang-orang Khurasan sebagaimana pujian terhadap mereka oleh ahli geografi dan sejarawan abad ke-10, al-Muqaddasi, dalam karyanya Ahsan al-Taqasim fi Ma‘rifat al-Aqalim (Pembahagian Terunggul Pengetahuan Kawasan) sebagai “yang paling taat dengan syariah, paling teguh dengan kebenaran” dan “lebih terhormat, punya lebih ramai orang bertakwa dan cerdik, punyai kedalaman ilmu, dan hafazan al-Quran yang menakjubkan; mereka memiliki kekayaan yang luas dan keelokan dalam berfikir.”
Khurasan menjadi saksi banyak terdirinya institusi-institusi pendidikan. Salah satunya ialah al-Madrasah al-Nizamiyyah yang diasaskan pada abad ke-11 bermula sebagai kumpulan madrasah oleh wazir di sisi pemerintah Saljuq Malik-Shah iaitu Nizam al-Mulk. Ia menjadi begitu terkenal sehingga seorang pengembara abad ke-13 Shaykh ‘Ali ibn Abi Bakr al-Harawi menyebutkan dalam travelognya Kitab al-Isharat fi Ma‘rifat al-Ziyarat (Buku Panduan Tempat-tempat Ziarah) kota-kota terbaik khususnya dalam menuntut ilmu-ilmu hadith dan agama: Herat, Balkh, dan Sijistan.
Khurasan pernah menjadi tempat lahirnya ramai alim ulama yang menyumbangkan sebahagian besar korpus persuratan Islam. Kota Sarakhs berhampiran sempadan Iran-Turkmenistan ialah kota kelahiran Imam Muhammad al-Sarakhsi (m. 1096), penulis karya 30-jilid fiqh Hanafi diberi judul Kitab al-Mabsut.
Al-Sarakhsi juga merupakan penulis Sharh al-Siyar al-Kabir (Sharah Besar Kitab berkenaan Budi Pekerti Nabi). Sebagai karya yang mensyarahkan Kitab al-Siyar (Kitab berkenaan Budi Pekerti Nabi) oleh Imam Muhammad al-Shaybani (m. 805), ia memberikan garis panduan jihad terhadap golongan kafir yang melancarkan peperangan, tatacara berurusan dengan pemberontak, dan perlindungan terhadap golongan dhimmi (orang bukan Islam yang berada bawah pemerintahan orang Islam).
Menurut sarjana perundangan Islam, Almarhum Muhammad Hamidullah (1908–2002), dalam karyanya The Muslim Conduct of State (pertama kali diterbitkan 1941), karya-karya para ilmuwan inilah yang menjadi batu asas undang-undang antarabangsa zaman moden.
Atas jemputan Nizam al-Mulk, bintang gemerlapan Islam iaitu Imam Abu Hamid al-Ghazali (m. 1111) mengetuai Nizamiyyah dan mengajar penuntut ilmu semasa kemuncak kerjayanya pada 1092.
Karya al-Ghazali iaitu Ihya’ ‘Ulum al-Din (Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama) dalamnya mengandungi 40 buku dianggap sebagai salah sebuah karya teragung pernah dihasilkan dalam sejarah Islam yang masih dibaca, diajar, diterjemah, disyarah, dan dikaji sehingga kini setelah lebih dari 900 tahun.
Sebagaimana diperkenalkan oleh penulisnya sendiri, kitab Ihya’ ditulis dengan tujuan menghidupkan ilmu-ilmu agama, mengembalikan makna asal fiqh (kefahaman agama), menerangkan konsep-konsep kunci yang telah kabur akibat penyempitan makna.
Samarkand pada abad ke-14 merupakan kediaman pakar pelbagai bidang Imam Sa‘d al-Din al-Taftazani (m. 1390). Sebagai seorang yang mensyarahkan kitab Aqa’id al-Nasafi iaitu matan akidah agama Islam, al-Taftazani memperolehi pendidikannya di kota-kota Herat, Ghijduvan, Feryumed, Gulistan, Khwarezm, Samarkand, dan Sarakhs.
Sekali lagi, hakikat bahawa al-Taftazani mengembara ke tempat-tempat yang dinamakan semata-mata untuk tujuan menuntut ilmu juga menunjukkan betapa hidup dan mekarnya peradaban dan budaya ilmu.
Kesemua di atas menunjukkan nilai besar Khurasan dari segi pembangunan peradaban dalam sejarah. Tokoh-tokoh yang dinamakan berhak diiktiraf sebagai contoh ikutan bagi mereka yang berkeinginan mengulangi kejayaan masa lalu.
Muhammad Husni bin Mohd Amin ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar IKIM.