Pertahanan negara merupakan salah satu elemen yang amat penting kepada negara bangsa. Setiap negara memerlukan pertahanan negara bagi tujuan keselamatan dan keamanan.Ini bertepatan dengan pepatah latin yang berbunyi si vis pacem, para bellum yakni bermaksud jika anda mahukan keamanan, maka bersedialah untuk berperang. Konotasi ini bukanlah bermaksud menyuruh kita berperang tetapi persediaan dan persiapan perlu dilakukan untuk menghadapi keadaan di luar jangkaan manusia. Persiapan dan persediaan adalah amat penting bukan sekadar untuk pertahanan tetapi lebih dari itu, sekiranya kekuatan itu menonjol, seperti yang dikatakan oleh John Garnett, ia berupaya mempengaruhi perlakuan negara lain. Sudah tentu pendekatan ini amat penting apabila kita membicarakan dalam konteks dunia hari ini. Kenapa Amerika Syarikat berjaya mempengaruhi perlakuan negara lain termasuk dunia Islam? Jawapannya mereka mempunyai segala kekuatan yang ada termasuk kekuatan pertahanan tentera dan persenjataan yang kuat dan canggih. Negara-negara lain terpaksa akur kepada kuasa barat ini.
Kalau dibuat perbandingan dengan dunia Islam hari ini, ternyata kita masih lagi ketinggalan. Tidak ada satupun negara Islam setakat ini yang berpotensi dan mampu menjadi kuasa yang berupayan menyaingi kuasa barat walaupun potensinya terlalu besar. Semuanya adalah disebabkan oleh ketidakmampuan kita untuk mencernakan sumber-sumber yang ada untuk dijadikan alat kekuatan terutamanya kekuatan pertahanan yang begitu mendesak sekali.
Walau bagaimanapun, hujah ini diketengahkan tidaklah bermakna bahawa Islam amat suka kepada keganasan atau peperangan. Sebagai agama yang menyeru kepada perdamaian, sudah tentu Islam bukanlah agama yang mahu mencetuskan peperangan. Kalau kita meninjau kepada sirah Rasulullah S.A.W. ternyata Baginda hanya mengajak manusia sejagat mengenali Islam dan bukan peperangan. Peperangan hanya timbul adalah disebabkan oleh pihak musuh yang cuba menghalang dan menyekat perkembangan dakwah Islamiah ketika itu. Itupun Islam cuba mengelakkan daripada berlaku peperangan dengan Baginda sanggup berhijrah ke bumi Habshah dan Madinah. Tetapi disebabkan oleh usaha menghancurkan Islam terus menerus dilaksanakan oleh musuh walaupun Baginda telah berpindah, maka tatkala itu tidak ada pilihan melainkan terpaksa mempertahankan diri dan agama Islam daripada dimusnahkan oleh musuh.
Peperangan Badar yang berlaku antara tentera Islam dan tentera musuh jelas menunjukkan bahawa Islam tidak sesekali ingin memulakan peperangan. Peperangan dalam Islam adalah jalan yang terakhir sekiranya tidak ada alternatif lain. Kita lihat dalam beberapa siri peperangan, tentera Islam dari segi bilangan jauh sekali lebih kecil daripada tentera musuh. Tetapi setiap kali peperangan, tentera Islam telah berjaya mengalahkan musuh. Kenapa dan mengapa. Jawapannya, tentera Islam sentiasa bersiap sedia dari segala aspek termasuk kelengkapan senjata dan apatah lagi semangat jihad di kalangan penganut Islam ketika itu. Persediaan mereka itu selaras dengan AlQuran surah Al-Anfal ayat 60, Allah S.W.T. mengingatkan supaya kita kita sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi musuh-musuh, menurut kemampuan dengan segala kekuatan dan barisan kuda (menurut keadaan zaman) bagi menakutkan musuh Allah dan musuh-musuh kamu serta musuhmusuh yang kamu tidak ketahui. Peringatan ini sepatutnya diambil perhatian serius oleh kita sebagai umat Islam. Peringatan ini menyuruh kita jangan memandang remeh soal pertahanan. Tetapi soal pertahanan adalah sesuatu yang amat penting seperti juga dengan soal pembangunan yang sentiasa menjadi perhatian kita.
Bekas menteri pertahanan Singapura pernah mengatakan, sekiranya kita tidak mempunyai pertahanan dalam setiap masa, kita akan diancam dan ‘dimakan’ oleh negara lain. Dengan sebab itu, tidak hairan kepada kita negara kecil itu sentiasa berwaspada dan meningkatkan pertahanan negaranya. Mengikut kajian yang telah dijalankan, Singapura merupakan negara terkuat pertahanan udaranya di Asia Tenggara setakat ini. Mereka sanggup membelanjakan berbilion ringgit untuk meningkatkan pertahanannya walaupun ada yang mengatakan ini satu pembaziran.
Menurut Asian Defence Journal, perbelanjaan pertahanan Singapura sebenarnya adalah berjumlah US$ 4.0 billion bagi tahun 1995/96 menyamai perbelanjaan pertahanan Thailand dan mengatasi perbelanjaan pertahanan Malaysia dan Indonesia. Pendek kata, perbelanjaan pertahanan Singapura akan terus menerus meningkat dengan pertumbuhan ekonomi yang memberansangkan. Ini tidak lagi termasuk polisi mewajibkan setiap warganegara lelaki berumur 18 tahun menjalani perkhidmatan tentera dan konsep pertahanan total yang telah diperkenalkan dan menyumbang kepada kekuatan pertahanan yang sukar ditandingi.
Kenyataan ini membawa maksud semakin besar kekuatan ekonomi maka ia perlu disertai dengan kekuatan dalam bidang pertahanan. Pertahanan negara adalah ibarat membeli insuran nyawa. Kalau kita mahukan masa depan yang lebih terjamin, insuran nyawa perlu dibeli iaitu semakin banyak harta kita ada, semakin banyak insuran perlu dibeli. Ini disebabkan kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang, misalnya soal kematian, kemalangan dan sebagainya? Yang penting persediaan ke arah itu perlu dilakukan untuk menghadapi saat yang tidak diduga itu. Begitu juga halnya dalam soal pertahanan, semakin besar pertumbuhan ekonomi, semakin canggih pertahanan negara. Namun begitu, itu tidak bermakna kalau pertumbuhan ekonomi kecil maka kecil juga perhatian diberikan dalam aspek pertahanan. Misalnya, negara Pakistan, walaupun pertumbuhan ekonominya kecil tetapi perbelanjaan pertahanannya adalah amat besar. Apa yang ingin ditekankan di sini walau apa jua pertumbuhan ekonomi negara, aspek pertahanan perlu dijadikan agenda utama negara, apatah lagi di kala ekonomi sedang memuncak. Persediaan ini amat perlu kerana kita tidak dapat menjangka kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang.
Beberapa insiden yang berlaku di depan mata kita seperti peristiwa Perang Teluk dan tragedi di Bosnia Herzegovina, seharusnya menjadikan kita sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi setiap kemungkinan yang sukar dijangka. Oleh itu, memperkuatkan pertahanan negara adalah merupakan satu kemestian.
Kita bimbang sekiranya kita tidak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, takuti jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, ketika itu barulah kita terkapai-kapai untuk bersedia. Mungkin pada masa itu kita telah terlambat. Pengajaran peristiwa di Bosnia-Herzegovina sepatut dijadikan iktibar oleh kita. Kalaulah mereka dari awal lagi bersedia menghadapi pencerobohan pengganas Serbia, sudah tentu umat Islam di Bosnia tidak dibunuh, dirogol dan dianaiya sedemikian rupa. Tetapi disebabkan mereka tidak bersedia, akhimya berlaku perkara yang tidak diingini kepada mereka. Persoalan perlu ditanya apakah kita mahu perkara ini berlaku di negara kita? Sudah tentu tidak. Jadi, jawapannya adakah kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi sesuatu yang berlaku dijangka. Kalau ditakdirkan berlaku, sejauhmana kekuatan kita, apa jenis senjata moden yang kita ada. Tindakan ‘action-oriented’ iaitu hanya bertindak apabila kita melihat orang lain menjadi ancaman kepada kita patut dihindarkan. Contohnya, apabila melihat negara jiran membeli senjata canggih, barulah kita sedar dan turut membeli senjata yang sama. Namun demikian, biarlah kita sentiasa mengambil pendekatan bahawa pertahanan negara itu merupakan satu kemestian dan persiapan ke arah itu hendaklah dibuat dengan menggunakan segala teknologi canggih yang ada. Perbelanjaan untuk pertahanan tidak boleh dianggap sebagai satu pembaziran. Ada pendapat yang mengatakan, tidakkah lebih baik kita menumpukan kepada soal pembangunan terlebih dahulu daripada soal pertahanan? Pada hakikatnya kedua-dua adalah perkara yang amat penting yang perlu diberikan perhatian serius.
Berdasarkan huraian di atas, maka beberapa perkara perlu kita muhasabah, sejauhmanakah umat Islam bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal timbul. Kalau sudah bersedia, sejauhmana kekuatan kita? Apakah langkah persediaan kita apabila melihat negara-negara jiran semakin memperkuatkan pertahanan mereka daripada masa ke semasa?
Baginda Rasulullah S.A.W amat mengambil berat tentang persiapan dalam pertahanan. Dalam satu riwayat Uqba bin Amir menceritakan mengenai persiapan yang perlu dibuat untuk memberi amaran kepada mereka supaya menggunakan panah dengan betul. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Sesiapa di antara kamu sudah pandai memainkan panah, kemudian melupakannya, maka mereka itu bukan dari umatku”. Manakala dalam hadis yang lain Baginda bersabda, “Allah akan memasukkan (syurga) tiga orang kerana hanya satu panah iaitu pembuat panah yang membuatnya untuk tujuan yang baik, pemanah dan orang melatihnya, oleh itu panah dan tungganglah, tetapi pemanah lebih aku utamakan dari penunggang”.
Fakta ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya persiapan pertahanan dilakukan. Dalam membina pertahanan yang kuat dan digeruni, Baginda sentiasa menggesa para sahabat dan umat Islam supaya sentiasa berlatih, malah Baginda sendiri mengeluarkan arahan kepada pemudapemuda Islam di Madinah supaya bersiap sedia dengan latihan ketenteraan dan memberi amaran keras kepada umat Islam yang sudah terlatih dengan alat peperangan, tetapi meninggal ilmu tersebut dianggap bukan dari umat Baginda. Begitulah gambaran betapa Islam amat mengambil berat tentang persiapan pertahanan. Kalau perkara ini dapat dipraktikkan oleh umat, kita yakin dan percaya, salah sebuah negara Islam suatu hari nanti akan keluar sebagai kuasa yang boleh memberikan kata dua kepada kuasa barat. Dalam Islam persediaan bukan hanya dari aspek fizikal semata-mata tetapi juga aspek dalaman seseorang. Tidak ada ertinya senjata canggih sekiranya jiwa pejuang itu kosong dan tidak berani menghadapi cabaran.