Wawasan 2020 meletakkan matlamat tahun 2020 sebagai sasaran untuk Malaysia menjadi negara maju. Sasaran negara maju ialah antara lainnya menjadi negara industri dengan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Membicarakan masyarakat industri dalam semua peringkat pembangunannya dan semua era yang dilaluinya adalah membicarakan tentang masyarakat ilmu. Anggota-anggota masyarakat industri adalah anggota masyarakat yang lengkap berilmu pengetahuan, kerana ilmu pengetahuan adalah merupakan alat penting untuk diolah menjadi bahan produk pengeluaran industri yang penting.
Tanah Melayu yang terkenal sebagai pengeluar hasil getah asli terbesar di dunia umpamanya dalam zaman penjajahan dan beberapa waktu berikutnya tidak menjadi negara industri getah kerana masyarakat tidak mempunyai ilmu tentang getah. Masyarakat hanya tahu mengeluarkan bahan mentah getah dan menyerahkannya kepada negara lain yang mempunyai maklumat dan ilmu tentang getah untuk mengusahakan industri getah. Ilmu-ilmu lain mengenai taknologi getah tidak dikuasai masyarakat, sebab itulah masyarakat kita pada masa itu tidak menjadi masyarakat industri getah.
Demikian juga manusia berjaya mencipta berbagai alat komunikasi seperti telefon, telegraf, radio dan sebagainya, setelah manusia menjalankan kajian ilmiah dan mengetahui tentang kewujudan gelombang elektromagnet yang dapat digunakan untuk mencipta alat-alat komunikasi yang tersebut.
Dengan itu ternyata bahawa ilmu pengetahuan memberikan keupayaan kepada manusia untuk mencipta peralatan baru, teknik baru dan segala sesuatu yang diistilahkan sebagai teknologi pada masa kini. Mencipta teknologi berasaskan besi umpamanya bukan hanya mengenali besi itu sahaja, tetapi mengetahui tentang besi dan fungsi serta alat-alat lain yang dapat dicipta dari besi. Dalam konteks ini di dalam al-Quran terdapat ayat yang menjelaskan dan memberi contoh tentang perkara ini iaitu ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Dan kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia … “, al-Quran 57/25
Ayat ini diturunkan Allah dalam konteks ketika Allah menerangkan bahawa tugas penting rasul-rasulNya ialah menunjukkan berbagai-bagai tanda kekuasaan Allah, dan kitab-kitab Allah yang dibawa oleh rasul-rasul Allah, juga neraca pertimbangan untuk manusia bertindak secara adil. Maka dalam konteks ini besi sebagai satu logam penting ciptaan Allah adalah sesuatu yang seharusnya digunakan oleh manusia untuk tujuan-tujuan yang baik termasuk sebagai satu bahan kekuatan bagi mempertahan dan membela agama Allah disamping memenuhi keperluan manusia dalam kehidupannya.
Surah al-Quran yang menyebut perkataan “besi” juga dinamakan Surah Al-Hadid (besi). Mengikut pentafsir Al-Tabari surah ini dikenali dengan surah yang di dalamnya disebut perkataan besi. Menurut para sarjana Islam berdasarkan firman Allah di dalam ayat 10 surah ini yang menyebut tentang pembukaan Mekah pada tahun ke-lO Hijrah maka ternyata bahawa ianya diwahyukan kira-kira pada akhir tahun ke-8 hijrah, iaitu dalam jangka masa lapan, tahun selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, satu zaman yang amat awal untuk pembinaan tamaddun manusia berasaskan bahan-bahan logam seperti besi.
Al-Quran seterusnya menjelaskan tentang logam besi ketika Allah s.w.t menceritakan tentang kelebihan Nabi Daud AS:
” dan telah Kami lembutkan besi untuknya, iaitu buatlah baju besi
yang besar dan ukurlah (telitilah) anyamannya, dan kerjakanlah amalan yang soleh … “. al-Quran 34/10 dan 11
Ternyata dalam konteks ini bahawa bahan teknologi (besi) yang merupakan bahan pembangunan dunia industri sekarang ini merupakan sesuatu yang ditekankan dalam kehidupan manusia dalam proses penciptaan tamaddun dan pertahanan nilai agama dan kemanusiaan secara adil dan saksama. Al-Quran memberikan gambaran tentang penggunaan material teknologi dan gambaran maknawi tentang nilai-nilai keagamaan dan kerohanian dalam bentuk mengingati Allah dan beramal soleh agar manusia tidak hanya membangun dan mengembangkan industri berdasarkan kebendaan semata-mata, tetapi pembangunan industri kebendaan itu haruslah disepadukan dengan pembangunan mental dan kerohanian serta akhlak mereka.
Dengan itu ternyata bahawa peranan ilmu dan nilai yang membentuk sikap dan tingkah laku manusia dalam membangun masyarakat industri mengatasi faktor lain seperti modal, bahan mentah, tanah dan tenaga buruh. Jika dilihat keadaan negara Korea, Jepun dan negara Eropah seperti Belanda ternyata bahawa negara-negara itu membangun dari segi perindustriannya meskipun negaranegara tersebut miskin dari segi sumber alam semula jadi. Malah kekayaan sebahagian besar negara di Asia Barat dan di Timur Tengah dengan kewujudan sumber kekayaan alam seperti petrol tidak menjadikan negara-negara tersebut maju dari segi perindustrian minyak umpamanya, kerana negara-negara itu tidak ada teknologi dan ilmu mengenai teknologi minyak.
Kepentingan penguasaan ilmu di dalam berbagai-bagai bidangnya tidak perlu dipertikaikan lagi di dalam warisan Islam dan ajarannya. Menurut al-Quran, Rasulullah SAW sendiri diajar supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT “Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku” (al-Quran 20/114),’ Malah manusia pertama ciptaan Allah, iaitu Nabi Adam A.S diberi kekuatan ilmu sebagai asas kesempurnaan dan ketinggian statusnya sebagai manusia di atas makhluk yang lain, termasuk malaikat (al-Quran 2/30-33). Malah Rasulullah SAW ketika menimbang hukuman yang patut dikenakan ke atas tawanan peperangan, telah mengambil sikap berlembut untuk membebaskan tawanan perang tersebut iaitu mereka boleh dibebaskan setelah mereka mengajar kanak-kanak Islam membaca dan menulis. Rasulullah dalam hal ini menunjukkan contoh yang positif dalam memberikan penghargaan yang tinggi kepada orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang boleh menyebarkan ilmu pengetahuannya untuk orangorang lain. Inilah juga maksud hadis baginda bahawa diantara peninggalan seseorang manusia yang terus menerus diberikan ganjaran Allah selepas kematiannya ialah ilmunya yang dimanfaatkan disamping anak yang soleh yang mendoakan untuknya dan sedekah jariahnya.
Kepentingan ilmu sebagai prasyarat kepada kemunculan masyarakat industri perlulah bersifat wabak di dalam masyarakat tersebut, iaitu merupakan percambahan dan perkembangan yang menyeluruh meliputi peratusan yang tinggi di dalam masyarakat tersebut. Yang dimaksudkan dengan peratusan tinggi orang-orang yang berilmu di dalam sesebuah masyarakat itu ialah proses pengeluaran tenaga manusia yang mahir dan berkeupayaan ilmiah mestilah berbentuk agresif dan sistimetik seiring dengan perkembangan dan pertumbuhan penduduk sesebuah negara itu.
Kehadiran segelintir sahaja individu yang berilmu ditengah-tengah masyarakat yang tidak berilmu tidak dapat memberikan sumbangan untuk mencipta masyarakat industri. Pengalaman dan kajian menunjukkan bahawa salah satu ciri penting bagi melahirkan masyarakat industri ialah kemunculan para ilmuan dan pemikir yang tinggi tahap pencapaiannya. Masyarakat industri memerlukan orang-orang yang mempunyai visi dan inisiatif, kreatif dan inovatif. Secara umumnya masyarakat industri memerlukan sekurang-kurangnya 60 % anggotanya yang berkelulusan diperingkat kolej dan universiti. Angka dan peratusan anggota masyarakat yang berkelulusan dan berpendidikan di institusi pengajian tinggi mencerminkan kewibawaan dan kewabakan ilmu di dalam masyarakat tersebut.
Ketandusan ilmu di dalam sebuah masyarakat pada umumnya menyebabkan kelahiran gejala kemiskinan, buta huruf, penurunan tahap kesihatan, kurang kepekaan terhadap taraf kehidupan yang selesa dan gejala-gejala lain yang memisahkan masyarakat tersebut dari alam luar yang lebih maju dan menonjol dalam bidang ekonomi dan industri.
Masyarakat atau negara dunia yang mempunyai ramai penduduk sedangkan peratusan kejahilan dan buta huruf dikalangan penduduknya tinggi maka masyarakat itu sering ketinggalan dan tidak berupaya menjadi masyarakat industri berteknologi tinggi dalam masa yang singkat. Benua kecil India dan Pakistan umpamanya merupakan benua yang agak kaya dengan sumber alam kurniaan Tuhan. Benua itu mempunyai tanah dan bekalan tenaga kerja yang cukup besar, tetapi benua itu ketinggalan di dalam bidang industri kerana ketiadaan gejala wabak ilmu secara meluas dikalangan penduduknya walaupun tidak dapat dinafikan bahawa benua itu berjaya melahirkan tokoh ilmuan dan pakar teknologi bertaraf dunia.
Oleh itu masyarakat industri atau masyarakat yang sedang menuju ke arah pembangunan industri haruslah menjadikan pendidikan sebagai pelaburan utamanya untuk melahirkan generasi berilmu dengan seberapa banyak mungkin. Kolej-kolej dan institusi pengajian tinggi haruslah didirikan dengan lebih banyak dengan kepelbagaian disiplin dan ilmu. Tahap dan mutu ilmu, kreativiti pelajar, keluasan visi tenaga pengajar, disiplin peperiksaan dan persijilan, mutu kajian dan penyelidikan mestilah mencapai tahap yang tinggi sesuai dengan perkembangan ilmu moden dan terkini.
Satu unsur lain yang amat penting bagi pembangunan masyarakat industri ialah bahasa yang menjadi alat perpindahan ilmu dan alat perhubungan masyarakat tersebut. Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa ilmu dan perhubungan rasmi di dalam negara kita pada zaman penjajahan dan masa-masa berikutnya mengakibatkan kepungan ilmu di dalam lengkungan anggota masyarakat yang tertentu sahaja, dan ilmu itu tidak dapat berkembang di luar daerah-daerah yang tertentu. Ilmu sains, teknologi, matematik dan sebagainya dipelajari dalam bahasa Inggeris, dan pelajar-pelajar di luar bandar atau dikalangan masyarakat Melayu tidak berpeluang menikmati percambahan ilmu itu.
Keadaan ini sedikit demi sedikit mengalami perubahan apabila dasar bahasa kebangsaan diperkenalkan, dan bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi.
Tentang dasar bahasa rasmi dan bahasa ilmu ini, pengalaman beberapa buah negara dunia di benua Afrika, Amerika Latin dan benua India menunjukkan bahawa banyak di antara negara tersebut yang tidak dapat mencapai kemajuan teknologi dan industri disebabkan tidak berkembangnya ilmu secara menyeluruh ,dikalangan semua lapisan rakyatnya. Negara-negara itu masih menggunakan bahasa bekas penjajah seperti Inggeris, Portugis, Spanyol dan Perancis sebagai bahasa ilmu. Akibatnya ilmu terkepung dikalangan sebahagian kecil individu yang menguasi bahasa asing tersebut. Ilmu ketika itu tidak menjadi satu wabak yang membajiri ke seluruh pelusuk negara hingga melibatkan sebahagian besar anggota masyarakat bagi semua lapisannya.
Secara perbandingan, negara industri dunia seperti Jepun, Korea, Prancis, Jerman dan sebagainya telah membangun ·dengan pesat berdasarkan keupayaan bahasa mereka sendiri menjadi bahasa ilmu yang ulung dan mantap. Mereka tetap mempertahankan kewibawaan bahasa mereka dan sentiasa mementingkan bahasa mereka sebagai bahasa sains dan bahasa ilmu pengetahuan.
Dalam konteks ini masyarakat nusantara seharusnya tidak akan merasa raguragu lagi tentang hakikat ini iaitu dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua-franka yang penting. Alam Melayu merupakan satu daerah yang besar dan mempunyai strategi dan potensi yang menyerlah dalam bidang teknologi dan industri. Oleh itu bahasa Melayu juga seharusnya berkembang seiring dengan pembangunan teknologi dan industri rantau ini. Jika bahasa Melayu diberi nafas dan tenaga yang sekuat-kuatnya, maka bahasa Melayu akan dapat berdiri sejajar dengan bahasa-bahasa maju lain di dunia.
Dalam al-Quran terdapat kisah menarik tentang hubungan bahasa dengan tugas manusia dalam menyampaikan visi dan tanggungjawabnya. Nabi Musa A.S ketika di perintahkan Allah supaya menjelaskan misi kebenarannya kepada Firaun yang terkenal dengan sifat zalim dan kejamnya itu merasa ragu-ragu dengan kepetahannya berbicara, lalu ia memohon kepada Allah untuk membawa saudaranya Harun bersama kerana:
” … Saudaraku Harun dia lebih petah lidahnya daripada ku, maka utus lah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan) aku, sesunguhnya aku bimbang mereka akan mendustakan aku”
(Al-Quran 28/34)
Maka Nabi Musa pun dibantu oleh saudaranya yang mempunyai kewibawaan yang baik dalam bahasa perbicaraannya untuk menghadapi tentangan Firaun dan para pengikutnya yang degil itu.
Dalam konteks bahasa ini juga, al-Quran memberi isyarat tentang penggunaan bahasa ibunda bagi sesuatu kaum yang menjadi kumpulan sasar tertentu. Allah SWT berfirman:
“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul kecuali dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka”.
(Al-Quran 14/4)
Hal ini bertepatan dengan dasar penggunaan bahasa secara berkesan dalam mengembangkan wabak ilmu bagi sesuatu masyarakat. Tetapi seperti yang telah dijelaskan diatas bahawa dasar ini tidak bererti menyekat perkembangan ilmu dalam bahasa lain, terutamanya dalam proses globalisasi sekarang ini.